BAB TUJUH
Mahathir melihat jam di tangannya. Sudah pukul 6 pagi. Dari tadi matanya melilau mencari seseorang. Setiap orang yang masuk ke dalam sekolah diperhatikan dengan telitu. Kalau-kalau orang yang dicarinya sudah sampai di kawasan sekolah.
“Mana dia ni? Takkan lambat betul.”
Seawal jam 5.30 pagi lagi Mahathir sudah sampai di sekolah. Hari ini dia sengaja datang awal daripada biasa. Semua ini adalah sebahagian daripada rancangannya untuk menarik perhatian seorang pelajar perempuan, iaitu Nuraini. Segala-galanya sudah diatur dalam otaknya. Dia akan cuba untuk datang awal setiap hari. Dengan harapan Nuraini akan tertawan dengannya. Kalau aku selalu datang awal ke sekolah, mesti dia akan anggap aku ni seorang yang berdisplin dan baik. Senanglah untuk kami berkawan. Pelajar baru macam Nuraini tu senang saja nak ditipu. Getus hatinya.
Jam sudah menunjukkan pukul 6.20 pagi. Kelibat Nuraini masih belum juga kelihatan. Mahathir sudah mulai bosan menunggu. Dia bingkas berdiri dari pondok sekolah dan terus berjalan menuju ke kelasnya. Baru saja mahu melangkah, namanya dipanggil seseorang. Dia menoleh. Rupa-rupanya Nadzeirah yang memanggil dia. Mahathir mengeluh. Dia sangkakan Nuraini yang memanggilnya.
“Awalnya Dir datang hari ni. Apa yang Dir buat kat sini? Oh, Eira tahu. Dir tunggu Eira kan?” Rengek manja Nadzeirah. Lantas memaut lengan Mahathir. Mahathir menarik tangannya daripada dipaut Nadzeirah.
“Janganlah buat macam tu Eira. Tak malukah orang lain nampak.” Tegur Mahathir kepada Nadzeirah.
Nadzeirah berasa aneh. Kenapa pula dengan sikap Mahathir sekarang ini. Sejak bila pula dia rasa malu bila tangannya dipaut perempuan. Nadzeirah memuncungkan bibirnya tanda merajuk. Mahathir yang perasan dengan riak muka Nadzeirah itu terus memujuknya.
“Alaa.. Eira janganlah macam ni. Oklah, Mahathir bukannya marah dengan Eira. Cuma Mahathir tak nak orang lain mengumpat pasal kita. Yalah, kitakan masih sekolah lagi. Mana boleh pegang-pegang tangan. Lagipun kitakan kat dalam sekolah. Nanti kalau ada guru lain nampak, teruk kita kena marah nanti.” Mahathir memujuk Nadzeirah. Teman wanitanya yang seorang ini kalau merajuk, mesti akan berlarutan sampai esok. Hatinya sejuk tapi Nadzeirah masih lagi berpura-pura merajuk. Mahu menyeksa Mahathir yang sedang memujuknya sekarang ini.
“Eira, janganlah buat Dir macam ni. Baby, please.. don’t do this to me.” Mahathir merayu lagi. Kemudian dia menarik tangan Nadzeirah lalu memegangnya. Berpura-pura membuat muka sedih. Berharap Nadzeirah akan berhenti merajuk bila melihatnya. Akhirnya Nadzeirah senyum. Melihat Nadzeirah senyum, hatinya lega.
“Ok, Eira tak merajuk lagi. Sayang Dir sangat-sangat.” Mereka berjalan beriringan.
Hmm.. hilang pun merajuk kau. Senang saja mahu mencairkan hati perempuan ni. Dengan sedikit rayuan manja dan riak muka sedih, sudah cukup untuk membuat hati perempuan yang merajuk hilang dengan cepat. Monolog Mahathir dengan angkuhnya dalam hati. Berasa gembira kerana taktik kasanova nya masih berkesan. Harap Nuraini pun boleh tunduk dengan dia. Nuraini? Dia teringat. Dia sebenarnya sedang menunggu kehadiran Nuraini. Pantas dia menoleh mencari kalau-kalau Nuraini ada. Dari jauh dia nampak Nuraini sudah melangkah masuk ke dalam sekolah berseorangan. Tak guna! Mahathir menumbuk telapak tangannya. Dia telah kehilangan peluang untuk mendekati Nuraini secara berdua. Ini semua gara-gara terlampau fokus memujuk Nadzeirah sampai dia terlupa matlamat sebenar dia pada awal pagi itu. Dia terus berjalan tanpa menghiraukan teman wanitanya yang berada di belakang.
Nadzeirah masuk ke dalam kantin sekolahnya dengan muka yang masam. Dia menghempaskan beg sekolahnya di kerusi. Rakannya, Lenny datang menyapa dia.
“Hah, ni kenapa muka masam-masam ni? Gaduh dengan boyfriend lagilah tu.” Ejek Rina kepada kawannya itu. Dia sudah masak dengan perangai kawannya itu. Kalau mood kawannya itu kurang baik tiba-tiba, mesti sebab Mahathir.
“Aku tak sukalah dengan perangai Mahathir sekarang ni. Mood dia ni pandai berubah. Tadi pagi aku jumpa dia, aku pun bermanja-manjalah dengan dia. Bila aku peluk lengan dia, dia tarik balik lengannya. Konon malu kalau dinampak orang. Aku pun merajuklah sekejap, terus dia pujuk aku. Aku pun sukalah bila kena pujuk. Kami jalan sama-sama masuk sekolah tapi dia tiba-tiba dia jalan laju sangat. Tak terkejar aku. Lepas tu bila dia mahu naik tangga sudah, aku cakap I love you. Terus dia boleh main naik saja. Dia tak balas pun. Hish, aku tak fahamlah dengan dia sekarang ni.” Nadzeirah menceritakan apa yang berlaku kepada Lenny. Sakit hatinya sekarang hanya dia yang tahu. Lenny yang mendengar hanya mengangguk. Dia tidak faham dengan keadaan Nadzeirah sekarang ini. Mahathir yang berubah sikap dengan cepat membuatkan dia lagi musykil. Namun, dia hanya diam. Tidak mahu memberi pendapat. Malas mahu masuk campur dalam masalah mereka.
“Len, kau kan sekelas dengan boyfriend aku. Mesti kau tahukan kenapa dia berkelakuan macam tu.” Nadzeirah mengajukan soalan kepada Lenny. Lenny pun tak tahu nak jawab apa. Manalah dia tahu apa sebab Mahathir berkelakuan macam tu. Tak pernah pula dia ambil tahu pasal hal itu.
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Tapi, kau jangan risaulah. Mungkin dia terlampau tekanan. Biasalah, tahun ni kan kami ambil SPM.” Teka Lenny. Mendengar jawapan Lenny itu membuatkan Nadzeirah berfikir. Betul juga tu. Mungkin Dir tengah stress sekarang ni. Tak apalah, aku sabar sajalah.
“Kau nak tahu, kelas kami ada pelajar baru.” Lenny membuka ceritanya bila Nadzeirah kelihatan tenang dan diam.
“Pelajar baru? Bila dia masuk?”
Sambil membetulkan ikatan rambutnya, dia menjawab. “Tiga hari lepas dia masuk. Nama dia Nuraini.”
“Pelajar perempuan? Macam mana orangnya?” Soal Nadzeirah.
“Hmm.. dari yang aku tengok dia ni peramah orangnya. Biarpun baru tiga hari lepas dia masuk, dia dah biasa dengan kami. Dia pun boleh tahan orangnya. Aku dengar dah banyak orang minat kat dia. Pelajar lelaki kat dalam kelas aku tu pun ada juga yang minat kat dia.”
Mendengar jawapan Lenny itu, membuatkan dia terfikir sesuatu. Dengan adanya pelajar baru itu di dalam kelas Mahathir, membuatkan dia rasa tergugat. Dia takut kalau-kalau Mahathir akan suka kepada pelajar baru itu. Dia perlu melakukan sesuatu agar hubungannya dengan Mahathir tidak terganggu. Memikirkan mengenai hal ini sahaja sudah mampu membuat hatinya gusar. Meskipun dia tahu Mahathir dan dia adalah kekasih, tak mustahil Mahathir akan berpaling daripadanya. Pelajar lelaki dalam kelas Mahathir pun boleh minat pelajar baru tu, tak mustahil Mahathir akan melakukan perkara yang sama. Bayangkanlah, dia hanya boleh bertemu dengan Mahathir bila waktu rehat atau pulang sekolah. Sedangkan pelajar baru itu, sekelas dengan Mahathir. Setiap hari dapat berjumpa, bertegur sapa, bergurau senda. Ah, tak boleh jadi ni! Aku harus fikirkan sesuatu. Aku perlu jumpa dengan pelajar baru tu. Nuraini..
* * * * * * * * * *
“Ok! Masa sudah tamat. Kamu boleh kembali ke kelas sekarang.” Guru Pendidikan Jasmani, Cikgu Amran mengarahkan pelajar-pelajar kelas 5 Al-Farabi masuk ke kelas. Sesetengah pelajar terus masuk ke kelas. Ada juga yang duduk berehat sebentar di kerusi kayu berdekatan stor sukan mereka. Shukri dan Mahathir duduk bersandar. Lalu membuka botol air masing-masing dan minum untuk menghilangkan haus.
“Aduh, punya main sakit kaki aku sekarang kena bola tadi. Tak pasal-pasal jatuh macam durian busuk. Ni semua Emir punya pasallah.” Mahathir mengurut kakinya. Semasa sedang bermain bola tadi, bola yang ditendang oleh Emir kena tepat di kaki kirinya. Terjatuh dia sebentar. Merah mukanya menahan malu kerana jatuh dengan gaya terlentang di hadapan pelajar perempuan kelasnya. Habis dia diketawakan oleh semua orang yang berada di situ. Shukri mengelap peluh di muka dengan saputangannya. Lalu, dia menjawab.
“Siapa suruh kau tamak bola sangat. Aku minta passing, kau minta puji mahu kasi gol sendiri. Bagus-bagus tadi aku langsung tak kena guard, kau pula buat hal. Kan dah kena.” Shukri menempelak rakannya itu. Siapa suruh temberang sangat. Nak tunjuk terer dengan Nuraini lah tu. Gara-gara berlagak, akhirnya malu sendiri.
“Kau ni pun, bagilah aku peluang. Aku memang sengaja buat begitu. Aku nak Nuraini nampak aku ni seorang yang pandai bersukan. Manalah tahu dia boleh tertarik dengan aku.” Sedang mereka berbual, muncul Fadzrin dari belakang mereka.
“Aik, aku fikir kau di kelas sudah. Di mana pula kau tadi?” Soal Shukri.
“Aku tolong cikgu simpan peralatan sukan tadi. Yang kamu berdua ni masih lagi di sini kenapa?” Soal Fadzrin kembali.
“Sebentar lagi kami pergi kelaslah ni. Tapi ni hah, kasanova kita ni. Kaki dia sakit lepas jatuh macam durian busuk tadi.” Seloroh Shukri. Fadzrin tergelak mendengar kata-kata Shukri itu. Memang sangat melucukan ketika Mahathir jatuh tadi. Betul-betul macam durian busuk jatuh. Kalaulah saat itu dia ada perakam video, sudah pasti dia akan merakam setiap detik. Buat kenangan di masa hadapan.
“Ah, kau ni Shuk! Suka betul ketawakan aku. Masa aku jatuh tadi, kamu berdua bukan mahu tolong. Kamu ketawalah pula.” Mahathir masih lagi mengurut kakinya. Serba-sedikit sakit di kakinya itu mulai hilang.
“Bukan kami tak mahu tolong, tapi apa boleh buat. Lucu betul masa tu. Tak berdaya aku mahu pergi tolong angkat kau. Sakit perut aku ketawa.” Jawab Fadzrin.
“Hmm.. Yalah tu. Disebabkan aku jatuh tadi, rosak plan aku mahu tarik perhatian Nuraini.”
Sambil menutup botol airnya, Fadzrin bertanya. “Kau masih lagi nak teruskan rancangan kau tu? Aku fikir kau tak jadi buat.”
“Sudah tentulah. Aku nak si Nuraini tu jatuh cinta dengan aku. Baru kamu semua menyesal kerana cabar aku tempoh hari.” Jawab Mahathir angkuh.
Fadzrin pelik. Bila masa pula dia mencabar Mahathir untuk memikat Nuraini. Setahunya, dia tidak pernah pun berbuat begitu mahupun Shukri. Kalau nasihat yang dia berikan kepada Mahathir tu dianggap sebagai cabaran, memang dah salah tafsir agaknya kawannya itu.
“Kami tak pernah pun cabar kau. Apalah kau ni. Aku peliklah. Kenapa kau nak sangat pikat si Nuraini tu? Kau kan dah ada girlfriend, tak payahlah nak tambah lagi.” Fadzrin memberikan nasihat kepada Mahathir. Berharap sangat Mahathir akan mendengar nasihatnya kali ini.
“Alaa.. Janganlah serius sangat. Aku main-main sajalah dengan Nuraini tu. Bukannya aku nak pikat dia sebab aku suka dia betul-betul. Aku cuma nak rasa pengalaman baru. Iyalah, kan kamu cakap dia tu nampak macam budak baik, rajin, alim, susah lelaki nak dekat. Jadi aku nak test kalau aku boleh buat dia jatuh hati dengan aku. Pasal girlfriend aku tu pula, tak payah risaulah. Aku akan setia dengan dia. Lagipun aku tengok aku dengan dia macam ada banyak chemistry lah. Tak mungkin aku akan tinggalkan dia.”
“Banyaklah kau punya test sana. Kau fikir si Nuraini tu apa? Bahan eksperimen? Huh, aku tak tahulah apa lagi nak cakap dengan kau ni. Aku bagi nasihat, kau tak mahu dengar. Lantak kaulah Madir. Jangan sampai kau jatuh hati betul-betul kat Nuraini tu sudah.” Fadzrin berdiri sambil meregangkan ototnya. Lalu berjalan menuju ke kelas. Shukri turut bangun dan menyusul dari belakang.
“Hoi! Tunggulah aku. Kaki aku belum ok lagi ni. Tolonglah papah aku.” Ujar Mahathir.
“Kau kan kuat? Takkanlah sakit kaki sikit pun dah tak larat nak jalan. Lemahlah kau.” Ejek Shukri. Mahathir berjalan dalam keadaan tempang. Melihat keadaan Mahathir begitu, timbul pula rasa kasihan dalam diri Fadzrin dan Shukri. Kemudian mereka memapah Mahathir. Lalu Fadzrin bersuara.
“Nanti kau belanja kami masa rehat. Faham? Kau fikir free kami tolong kau ni. Sorry lah kawan. Upah mesti ada ok.”
“Laa.. Itupun mahu upahkah? Tak ikhlas langsung kamu ni.” Jawab Mahathir.
“Kira baguslah sudah ni kami tolong kau. Kalau tidak, kami kasi tinggal saja kau tadi. Berlalatlah kau nanti di sana. Jadi mayat keringlah kau.” Gurau Shukri. Tergelak mereka bertiga.
“Ada-ada sahaja kamu ni..” Getus hati Mahathir.
* * * * * * * * * *
Selesai solat zohor, dia menuju terus ke pondok yang berdekatan dengan taman bunga sekolahnya. Fadzrin meletakkan begnya di atas meja pondok itu. Kemudian, memakan pisang goreng yang dibelinya tadi di kantin sekolah sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Waktu ini bahang matahari tidak begitu panas. Angin yang bertiupan menyejukkan sedikit suasana di waktu tengah hari itu. Dia mengerling ke arah jam tangannya. Sudah jam satu lebih. Hari ini dia tidak bertugas di perpustakaan kerana guru-guru menggunakan perpustakaan sebagai tempat bermesyuarat. Bilik mesyuarat sekolah mereka sedang dibaik pulih. Silingnya telah bocor akibat hujan lebat semalam. Jadi, dia hanya akan bertugas jika guru-guru sekolahnya tidak menggunakannya.
Dia mengambil novel yang berada dalam begnya. Lalu mencari penanda yang dia tinggalkan tadi semasa membaca novel tersebut. Novel tersebut adalah kepunyaan Rozainie. Dia meminjamnya tadi semasa di kelas. Sedang dia asyik membaca, tiba-tiba ada seseorang menyergahnya dari belakang. Terkejut dia sebentar. Lalu, melihat ke arah orang itu.
“Gila kau Shuk. Bikin aku terkejut saja. Kalau aku ada sakit jantung, arwah sudah aku tadi. Lain kali bagilah salam.” Omel Fadzrin. Tegas suaranya. Dah siapa suruh tak reti bagi salam.
“Hehe.. janganlah marah. Yalah, assalamualaikum. Boleh aku duduk?” Shukri tersengih melihat wajah rakannya itu. Dia melihat buku yang berada di tangan Fadzrin itu. Sudah dia agak, satu-satunya buku yang boleh membuatkan rakannya itu khusyuk membaca. Tak lain tak bukan, buku novel yang berunsurkan percintaan. Shukri masak benar dengan perangai Fadzrin ini. Tak kira bila dan di mana, buku novel itu akan sentiasa dekat dengannya. Pantang ada masa terluang, pasti novel itu yang ditatapnya sepanjang hari. Itulah hobi Fadzrin yang Shukri tahu sejak mengenalinya sejak tingkatan empat lagi.
“Balik-balik aku nampak kau baca novel sahaja. Cubalah kau baca buku lain. Yang lebih mendatangkan manfaat. Kau fikir nanti exam keluar soalan dari novel tu kah?” Ujar Shukri sambil melabuhkan punggungnya di atas tempat duduk pondok itu.
“Aku baca novel ni pun dapat faedah juga tau. Aku jadi lebih rajin membaca. Lagipun, aku taklah sampai lalai dalam pelajaran kalau baca novel.” Jawab Fadzrin selamba. Kemudian menyelak ke halaman muka surat yang seterusnya.
Shukri tahu rakannya itu tidak pernah melupakan pelajarannya. Buktinya setiap kali keputusan peperiksaan keluar, Fadzrin mesti mendapat keputusan yang baik. Selalu tersenarai dalam top ten dalam kelas. Kadang-kadang Shukri tertanya-tanya juga. Macam mana rakannya itu sering mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Dengan segala tugasnya sebagai pengawas perpustakaan, pergi kelas tuisyen lagi dan melakukan hobinya. Malah, kalau dilihat rakannya itu kelihatan sentiasa tenang. Seolah-olah tiada tekanan stress langsung. Jika dia berada dalam diri Fadzrin sekarang, sudah tentu dia tidak mampu untuk menanggung semua beban kerja itu.
“Faz, aku mahu tanya. Macam mana kau dapat buat semua aktiviti kau dengan sempurna? Aku tengok kau ni relax saja. Macam tiada tekanan stress. Kau selalu bertugas di perpustakaan, balik sekolah saja terus pergi kelas tuisyen. Dengan minat kau lagi yang gemar membaca novel. Bila masa kau ulangkaji? Apa tips kau?” Soal Shukri. Ingin tahu bagaimana rakannya itu sentiasa efisien dalam tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.
“Oh, tiada tips apa-apa pun. Aku cuma buat sesuatu mengikut jadual harian aku saja. Dengan adanya jadual aku tu, dapatlah aku selesaikan kerja aku dengan cekap. Kau pun sepatutnya buat macam tu. Barulah kurang sikit tekanan tu. Kita sebagai pelajar SPM ni tak boleh terlampau tension sangat. Tak baik untuk kesihatan mental dan fizikal kau. Apa kata kau buat jadual harian kau?” Fadzrin memberikan cadangan kepada rakannya itu. Dia tidak pernah tamak untuk berkongsi rahsia kejayaan dia dengan sesiapapun. Baginya, berkongsi itu lebih baik daripada menyimpannya untuk diri sendiri.
Shukri diam berfikir. Ada bernasnya juga cadangan Fadzrin itu. Mana tahu kalau aku buat macam tu, aku pun boleh berjaya macam dia.
“Oklah, nanti aku pun buat juga. Jadi apa yang kita mahu ulangkaji ni?” Shukri membuka zip begnya lalu mengeluarkan sebuah buku nota dan dua batang pen. Semasa di kelas tadi, Fadzrin merancang untuk melakukan sesi perbincangan mengenai pelajaran selepas sekolah. Shukri bersetuju namun Mahathir tidak dapat ikut serta. Sibuk katanya.
“Sebentar. Baru aku ingat. Kau ada nampak Nadiah tadi? Dia cakap dia pun mahu ikut ni study group.” Fadzrin teringat kembali, semasa mereka sedang merancang mengenai study group ini, Nadiah mengatakan dia mahu turut serta.
“Panjang pun umur dia. Kau sebut saja nama dia, muncul sudah dia.” Shukri menaikkan jari telunjuknya ke arah Nadiah yang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Nadiah melambaikan tangannya ke arah mereka berdua.
“I’m so sorry guys for being late.” Kata Nadiah sambil tersengih.
“Tak apa. Asalkan kau datang.” Fadzrin menutup novel tersebut dan meletakkan di atas meja. Kemudian mengeluarkan buku nota dan pencil case nya. Setelah duduk, Nadiah melihat ke arah novel yang dibaca oleh Fadzrin itu. Lalu, dia mengambil dan menyebut tajuk novel tersebut.
“Ombak Rindu.. Hmm, macam best saja cerita ni. Faz, apa cerita dia ni?” Soal Nadiah setelah habis membaca sinopsis di belakang novel itu.
“Betul cakap kau Nad. Memang best cerita novel ni. Aku tak habis baca lagi cerita tu. Tapi, apa yang aku boleh katakan biarpun aku baru baca setengah, jalan ceritanya cukup menarik.” Jawab Fadzrin. Memuji cerita novel itu.
“Oh, yakah? Kalau macam tu, boleh tak aku pinjam? Lepas kau habis bacalah.”
“Boleh. No problem.” Fadzrin dan Nadiah mempunyai minat yang sama. Gemar membaca novel. Setiap kali mereka pergi ke kedai buku, pasti mereka akan periksa sekiranya ada novel terbaru. Jika Nadiah ada novel baru, dia akan meminjamkannya kepada Fadzrin dan begitu jugalah sebaliknya.
Shukri yang dari tadi lantas bersuara. “Wahai orang-orang jiwang sekalian. Tutuplah dulu cerita kamu pasal novel tu. Kita di sini mahu buat sesi perbincangan. Bukan mahu berjiwang karat.”
“Alaa.. Cakaplah kalau jealous.” Balas Nadiah dengan nada mengejek.
“Kenapa pula aku mahu jealous?”
“Aku tahu kau jealous dengan kami ni. Kami ni orang yang ada perasaan. Boleh sedih, gembira dan macam-macam lagi. Bukan macam kau tu. Manusia tiada perasaan. Macam robot saja. Betul tak Faz?” Fadzrin tidak menjawab pertanyaan Nadiah itu. Dia hanya mengangkat keningnya.
“Banyaklah kau punya robot sana. Ok lagi aku berbanding kau. Aku tahu jiwa aku ni tak jiwang macam kamu. Aku sedar tu tapi kau ni Nad, tak sesuai langsung mahu berjiwang karat ni. Kau tu perangai macam lelaki, kasar. Tak padan langsung. Si Fadzrin ni lain ceritalah. Dalam hati dia ni memang ada taman. Hati kau pula Nad, sama saja macam luaran kau.” Shukri membalas balik sindiran Nadiah itu.
Nadiah berang mendengar sindiran Shukri itu. Lantas dia menumbuk bahu kiri Shukri. Shukri memegang bahunya yang kesakitan ditumbuk Nadiah itu. Melihat reaksi Shukri yang kesakitan itu, Nadiah tersenyum angkuh. Terasa dirinya menang.
“Aduh! Gila kau ni Nad. Sedap saja tangan kau tumbuk aku. Ganas juga kau ni. Agak-agaklah sikit. Kau tu perempuan. Lemah lembutlah sikit.” Shukri mengusap bahu kirinya. Masih sakit lagi. Memang tiada kelembutan betul perempuan ni. Macam manalah lelaki nak suka dengan kau? Gumam hatinya.
“Padan muka kau. Siapa suruh kau sindir aku? Kan terima padah. Kalau mahu lagi, cakap. Aku boleh bagi.” Kata Nadiah sambil menunjukkan buku limanya.
“Ok. Boleh kamu stop kah dulu? Sampai bila kamu mahu begini? Kita di sini mahu belajarkan, jadi mari kita belajar.” Fadzrin menenangkan keadaan. Jika dibiarkan saja mereka berdua berterusan begitu, alamatnya tak tercapailah hasrat mereka mahu belajar. Bukan dia tidak tahu kalau Shukri dan Nadiah sudah bertelagah, masing-masing tidak mahu mengalah.
“Bukan salah aku. Nadiah yang mula dulu.” Sempat lagi Shukri menyalahkan Nadiah.
“Kau tak puas lagikah kena tumbuk? Nak lagi?”
“Wey, sudahlah kamu. Kamu ni macam budak-budak betullah. Cubalah matang sikit. Sudah, mari kita bincang pasal perkara lain dulu. Kalau kamu bising lagi, kamu dua yang aku tumbuk.” Tegas nada suara Fadzrin. Kedua-duanya terdiam. Fadzrin lega bila mereka akhirnya diam dan mula serius. Namun, dalam hati terasa lucu juga. Tak sangka mereka takut dengan amaran aku. Padahal aku bukannya berani tumbuk orang. Hehe.. Getus hatinya.
* * * * * * * * * *
Mahathir termenung sendirian di biliknya. Lalu keluar dan berdiri di balkoni biliknya. Menghirup udara segar sebentar. Memerhati keadaan suasana waktu petang memang menjadi kegemarannya. Apatah lagi disaat matahari terbenam. Memang dia suka akan warna kemerah-merahan yang ada di langit. Namun, moodnya berubah setelah telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat ada mesej tertera di papan skrin telefon bimbitnya. Kemudian membacanya.
Dear, are you still mad at me? Please forgive me.. L
Bila dia baca saja isi kandungan mesej itu, dia sudah agak siapa penghantarnya. Sudah pasti Nadzeirah. Dia kemudian mematikan handphone nya. Rasa malas pula mahu membalas mesej kepada teman wanitanya itu. Bukan apa, Mahathir masih rasa tak puas hati dengan apa yang berlaku tadi. Kejadian yang sangat menyakitkan hatinya. Semasa sedang berjalan menuju ke tandas di tingkat satu, dia ternampak Nadzeirah sedang berbual mesra dengan seorang pelajar lelaki di luar kelas Nadzeirah di tingkat dua. Yang membuatkan dia sakit hati sangat bila lelaki itu menyentuh pipi Nadzeirah. Nampak sangat seperti Nadzeirah rela pipinya disentuh sebegitu. Lantas Mahathir dengan perasaan cemburunya, menuju ke arah mereka berdua. Bila Mahathir datang menyergah mereka, Nadzeirah kelihatan terkejut dengan kehadiran Mahathir di situ. Dia tidak menyangka Mahathir akan berada di situ.
Bila ditanya siapa lelaki itu, Nadzeirah hanya diam. Mahathir memandang ke arah pelajar lelaki itu. Dia lebih berminat pada pelajar lelaki itu di saat ini. Dia memendam rasa sakit hatinya agar dia tidak melakukan sesuatu di luar batas. Nadzeirah masih diam. Tidak menjawab soalan yang diajukan oleh Mahathir itu tadi. Mahathir bertanya lagi soalan yang sama. Kali ini nada suaranya sudah meninggi sikit. Pelajar lelaki itu tiba-tiba menolak Mahathir. Mahathir terdorong ke belakang sikit. Lalu, dia meluru ke arah pelajar lelaki itu. Berniat mahu membalas balik. Nadzeirah pantas menghalang tindakan Mahathir itu.
“Dir, janganlah buat macam ni. Malulah kalau orang nampak.” Ujar Nadzeirah.
“Ini kau cakap malu kalau orang nampak!? Yang kau biarkan dia sentuh pipi kau tu apa pula? Tak rasa malukah? Sekarang Dir nak tanya, siapa dia ni?” Tunak mata Mahathir memandang pelajar lelaki itu. Seolah-olah dia adalah pesaingnya.
“Dia tu.. erm..” Tersekat-sekat suara Nadzeirah menjawab soalan Mahathir itu. Bengang dengan keadaan sebegitu, Mahathir pantas berlalu pergi. Malas dia mahu mencari masalah. Nadzeirah yang memanggilnya dari belakang tidak dihiraukan.
Dummm!
Sebiji tumbukan dilepaskan ke arah pagar balkoni nya. Sakit hatinya bila diingat kembali kejadian tadi. Tangannya memegang dahi. Satu keluhan kasar diluahkannya. Bingung memikirkan keadaan hubungannya dengan Nadzeirah sekarang ini. Akhirnya dia tension sendiri.
* * * * * * * * * *
Selesai sahaja solat isyak, dia bangun dan melipat tikar sembahyangnya. Lalu, menuju ke arah almarinya. Pintu almari dibuka dan dia mengambil jadual waktu untuk hari esok. Setelah meneliti jadual tersebut, dia mengambil begnya. Kemudian, mengeluarkan buku-buku yang berada di dalam. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dengan kuat. Memecah suasana sunyi pada malam itu. Terkejut dia sehingga buku-buku yang berada di tangannya terlepas. Dia mengeluh. Pantas dia mengambil telefon bimbitnya. Ada mesej tertera di papan skrin telefon bimbitnya. Lalu, membuka mesej itu dan membacanya.
Assalamualaikum .. Faz, minta dulu jadual untuk esok. Hilang pula jadual aku.
Shukri rupanya yang menghantar mesej itu. Dia menghembus kecil nafasnya. Shukri ni memang selalu hilang saja jadual dia. Gumam hatinya. Selepas membalas mesej itu, dia merendahkan sedikit volume bunyi handphone nya. Dia kemudian mengutip semula buku-bukunya yang jatuh tadi. Sedang dia asyik mengutip bukunya, matanya tertumpu kepada sebuah buku. Buku yang dia tidak pernah lihat sebelum ini. Dia membelek-belek buku itu. Buku yang bersalut reben di tepinya dan dihiasi dengan gambar animasi kartun Winnie the Pooh. Tertera ayat ‘My Diary’ di depannya. Buku siapa pula ni? Hmm.. ni mesti buku diari kakak aku ni. Macam mana pula boleh ada dalam beg aku ni. Tekanya dalam hati. Baru saja dia hendak memulangkan buku itu kepada kakaknya, tiba-tiba dia berhenti. Terfikir dia sekejap. Kalau ni buku diari dia, mesti banyak rahsia yang dia tulis kat dalam ni. Rasanya tak salah kalau aku baca sedikit. Hehehe.. Akukan adik dia, jadi aku pun ada hak nak baca. Hmm.. bagus aku baca yang kali terakhir dia tulis. Setiap muka surat buku itu dibeleknya. Akhirnya dia terjumpa muka surat yang dia cari. Tercatat tarikh semalam. Kemudian dia baca ayat yang ada dalam diari itu.
28 March 2011
Dear diary,
Hari ni aku penat sangat. Banyak sangat kerja yang aku mahu buat. Dengan kerja rumah yang berlambak, kerja kursus lagi. Tak berdaya aku nak buat semua tu. Namun, semua itu aku dapat lakukan jika aku lihat wajahnya di kelasku. Wajah jejaka yang selama ini telah bertakhta dihatiku. Aku bertambah bersemangat kalau aku dekat dengannya, dapat bergurau senda dengannya. Meskipun dia tak tahu aku suka dia, tapi aku tak kisah. Asalkan dirinya sentiasa dekat denganku. Bagiku, itu sudah cukup untuk aku merasa bahagia. Aku tahu aku ni bukanlah pilihan dia. Dengan gaya aku yang kasar, ganas, macam manalah dia nak dengan aku. Dia sudah ada pilihan hatinya sendiri. Gadis yang bernama Hasmiera. Sudah tentulah gadis seperti dia menjadi idaman lelaki. Lemah lembut, lawa, pandai pula tu.. Berbeza sungguh dengan aku. Oh Tuhan! Mengapa setiap kali hatiku berasa cemburu ketika dia menceritakan mengenai Hasmiera bila denganku? Bukannya aku ada apa-apa dengan dia. Kami bukannya kekasih tapi hatiku memang sakit sangat. Mungkin ini kerana perasaanku terhadapnya yang mendorong aku untuk merasa sebegitu. Sudah berapa kali aku mencuba untuk menghapuskan perasaan ini namun aku tak berdaya. Bila dia dekat denganku, ingin saja aku lafazkan I love you dengan dia. Tapi, tak mungkin aku akan lakukan hal itu. Wahai hati, cubalah engkau hilangkan perasaan ini..
Shukri ..
Meskipun kau tidak mendengarnya disaat ini, aku ingin katakan yang aku sangat suka kepadamu. Biarlah hanya Tuhan dan diriku yang mengetahui perasaanku ini..
Fadzrin terkedu bila membaca isi luahan hati yang tercatat di diari itu. Hatinya seolah-olah memahami keadaan si penulis ini. Buku diari itu ditutupnya. Pada masa yang sama, dia musykil. Tidak mungkin kakaknya yang menulis ayat seperti itu. Dia cukup yakin buku diari itu bukan milik kakaknya kerana nama lelaki yang tercatat di dalamnya adalah Shukri. Bukanlah nama kekasih kakaknya, Aaron. Fadzrin bertambah bingung. Milik siapakah diari ini? Dia membuat keputusan untuk menyimpan diari itu. Bila dia angkat buku itu, terkeluar sesuatu dari buku itu. Sekeping gambar kecil. Lantas, gambar itu diambil. Mana tahu pemilik diari itu adalah orang yang didalam gambar ini. Fadzrin terkejut bila melihat gambar itu. Orang itu sangat dikenalinya. Orang tersebut adalah Nadiah, teman sekelasnya. Misteri mengenai siapa pemilik diari tersebut sudah terjawab. Tak sangka gadis macam Nadiah itupun ada diari, mampu menulis ayat-ayat yang begitu syahdu. Sebentar. Fadzrin terfikir sesuatu. Kalau diari ni milik Nadiah, maksudnya lelaki yang bernama Shukri itu adalah..
Wow! Sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh Fadzrin. Rupa-rupanya dalam diam Nadiah menyimpan perasaan terhadap rakannya, iaitu Shukri. Nadiah memang pandai dalam menyimpan rahsia. Kalau tidak kerana dia terbaca diari ini, mungkin sampai bila-bila pun Fadzrin tidak mengetahui hal tersebut. Benar kata orang, cinta itu buta. Cinta tidak pernah mengenal rupa, umur dan personaliti seseorang itu. Buktinya Nadiah yang berkelakuan seperti lelaki itu, boleh sampai jatuh hati pula dengan Shukri. Namun, Fadzrin berasa kasihan juga terhadap Nadiah. Bila dibaca luahan isi hati Nadiah itu, akhirnya dia tahu disebalik luaran Nadiah yang kasar itu terselindung sifat kewanitaannya. Sensitif, ingin disayangi dan dihormati. Bak kata orang, luaran saja nampak rockers tapi dalam hati ada taman. Diari itu diletak kembali dalam begnya. Esok Fadzrin akan memulangkan diari itu kepada Nadiah. Kemudian, dia menyambung semula kerjanya. Menyusun jadual untuk hari esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan