BAB ENAM
Sejak dari tadi dia tersenyum sendirian. Dia mengetuk mejanya dengan pen berulang-ulang kali. Bunyi ketukan mejanya itu membuatkan bunyi yang mengganggu orang yang duduk berdekatan dengan dia.
”Hoi Madir! Boleh kau berhenti ketuk meja tu? Bisinglah. Susah aku mahu buat kerja..” Tegur Lizah yang duduk di belakang Mahathir. Dari tadi lagi dia agak terganggu mendengar ketukan bunyi itu sehingga membuatkannya rasa jengkel.
“Betul tu. Aku pun terganggu dengar bunyi ketukan meja tu. Kalau merdu bunyi yang kau buat tu tak apalah.” Sokong Eyka. Mahathir memusingkan badannya lalu menghadap ke arah mereka berdua.
“Kamu berdua mahu belajar? Hmm, sudahlah. Tak payah berpura-pura. Aku tahu apa kamu buat. Kamu tu dari tadi tengah online facebook kan? Buku saja atas meja tapi mata tengok facebook di handphone.” Perli Mahathir. Lizah dan Eyka terkejut. Lalu mereka segera menutup handphone lalu berpura-pura menulis di buku nota.
“Macam mana kau tahu?” Soal Eyka dalam nada berbisik.
“Lenny yang beritahu aku. Balik-balik dia cerita pasal kamu bertiga online di belakang. Tak payahlah nak online kalau di sekolah. Nanti handphone kena rampas oleh pengawas sekolah, kamu juga yang merana nanti.” Nasihat Mahathir.
Zaman di arus pemodenan ini telah memajukan banyak jenis teknologi. Kebanyakan masyarakat terutamanya para pelajar sudah memiliki telefon bimbit sendiri. Tapi ramai yang menyalahgunakannya. Malah, mereka juga berani untuk membawa handphone ke sekolah. Sudah beberapa kali handphone pelajar dirampas oleh pengawas sekolah. Namun, para pelajar tidak pernah serik. Mereka dengan suka hati melanggar peraturan yang dibuat oleh sekolah. Arahan dari pekeliling juga telah dibuat. Keberkesanan peraturan itu hanya bertahan selama beberapa hari sahaja. Apabila pemantauan tidak dibuat, para pelajar akan mengambil kesempatan.
Tepat jam 9.40 a.m, loceng dibunyikan menandakan waktu rehat. Semua pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas. Mereka semua mempunyai matlamat yang sama, iaitu menuju ke kantin. Dengar sahaja bunyi loceng itu, Mahathir terus bangun.
“Madir, kami mahu ke kantin ni. Jomlah.” Ajak Shukri.
“Sebentar. Aku ada something mahu buat.” Dia menuju ke arah meja seseorang. Dia berdiri menghadap orang itu. Sekali lagi, dia dapat melihat wajah comel itu tapi kali ni pada jarak yang dekat.
“Urm.. nama awak Nuraini kan? soal Mahathir kepada pelajar baru itu.
“Err.. ya. Ada apa?” soal Nuraini kembali. Mahathir menghulurkan sesuatu. Berbungkus dengan plastik dan berwarna hijau. Nuraini mengambil barang tersebut. Ia adalah baju sukan sekolah mereka. Mahathir gembira kerana akhirnya dapat bercakap dengan Nuraini. Semasa berjumpa dengan Cikgu Dg.Arifah, mereka tengah membincangkan hal mengenai yuran kelas. Sepanjang perbincangan, dia berharap betul agar guru kelasnya itu akan selesai berurusan dengannya. Habis sahaja cikgunya itu memberi baki duit, Mahathir terus berjalan. Tiba-tiba cikgunya itu memanggil dia kembali. Mahathir mengeluh. Ingatkan apa, rupanya cikgunya itu menyuruh dia untuk menyerahkan baju sukan kepada seseorang. Orang itu ialah Nuraini. Bila dengar saja nama Nuraini, hatinya riang. Dengan itu, Mahathir pun mempunyai alasan untuk bercakap dengan pelajar baru itu. Disaat ini Mahathir berterima kasih sangat kepada guru kelasnya kerana jika dia tidak dipanggil oleh gurunya itu, pasti dia masih terkial-kial mencari cara bagaimana untuk bertegur sapa dengan Nuraini.
“Err.. awak pelajar baru kelas ni kan?” Nuraini hanya mengangguk. Mahathir sengaja menanyakan soalan yang dia sudah tahu jawapannya kerana dia tak tahu apa nak cakap. Gugup rasanya. Entah kenapa Mahathir rasa gugup bila bercakap dengan gadis itu. Terutamanya bila dia memandang sepasang mata gadis tersebut. Meskipun baru pertama kali menatap mata gadis tersebut, lidahnya kelu tak berkata-kata. Sedangkan sebelum ni kalau dia bercakap dengan mana-mana pelajar perempuan, mereka yang akan tersipu-sipu malu bukannya Mahathir. Tapi sekarang ni perkara yang sebaliknya pula berlaku.
“Eh, lupa pula nak memperkenalkan diri. Nama saya Mahathir tapi semua orang kat sini panggil saya dengan gelaran saya iaitu ‘Jejaka Tampan’ tapi kalau awak nak panggil saya Mahathir pun boleh juga.” Shukri dan Fadzrin yang mendengar berasa geli hati dengan apa yang dikatakan oleh Mahathir itu. Pandai betul dia mereka-reka cerita. Gelaran tu langsung tak pernah diberi kepadanya oleh sesiapapun.
”Selamat berkenalan.” Mahathir menghulurkan tangannya untuk bersalam. Nuraini hanya senyum sambil mengangguk. Dahi Mahathir berkerut. Pelik rasanya. ”Kenapa dia tak nak sambut salam aku ni?” getus hatinya.
“Maafkan saya Mahathir. Bukannya saya tak nak sambut salam awak tapi kitakan bukan muhrim?” jelas Nuraini. Mahathir menarik kembali tangannya. Malunya dia rasa. Dia hanya tersenyum menahan malu yang sudah menebal pada dirinya. Nuraini bingkas berdiri.
“Baiklah, saya nak ke kantin dulu. Terima kasih kerana berikan saya baju ini.” Lantas dia menuju ke luar kelas diikuti oleh Izzati dan Hasyikin. Mahathir hanya melihat saja Nuraini berlalu pergi. Kemudian kedengaran letusan ketawa dari Shukri dan Fadzrin. Mahathir mendengus geram lalu dia meluru ke arah dua orang rakannya itu sambil memegang tengkuk leher mereka berdua dengan kuat. Mereka kesakitan namun masih dalam keadaan ketawa. Mahathir menguatkan lagi pegangannya.
“Aduh! Ampun Madir.. oklah. Lepaslah!” kata Fadzrin. Mahathir melepaskan leher mereka. Shukri mengusap lehernya. Begitu juga Fadzrin. Sakit juga rasanya.
“Agak-agaklah Madir. Kau fikir leher kami ni alat mainankah? Sakitlah bro.” tegur Shukri. Mahathir tersengih.
“Kenapa kamu ketawa hah? Kamu ketawakan akukan?” soal Mahathir.
“Kami saja-saja ketawa. Kenapa, tak bolehkah?” balas Fadzrin.
“Jangan tipulah. Kamu ketawakan akukan tadi?” Mahathir masih lagi berkeras tidak mahu mengalah.
“Hehe.. Memang kami ketawakan kau pun.” jawab Shukri.
“Dah agak dah. Kenapa pula kamu ketawa tiba-tiba?”
“Ah, banyak soallah kau ni. Alaa, kami ketawa sebab kau punya taktik mengurat tadi tu. Pandai betul kau susun ayat. Memang dasar kasanova lah kau ni.” ejek Shukri.
“Tapi yang paling kami rasa lucu sekali masa kau nak bersalam dengan dia tu. Merah ni muka kau kami nampak menahan malu gara-gara dia cakap kamu bukan muhrim. Padan muka kau sana. Itulah, hari-hari pegang tangan perempuan. Kan sekarang kau dah kena balik. Haha..” sambung Fadzrin pula.
“Wei, melampau dah tu. Aku taklah setiap hari pegang tangan perempuan kau tahu tak.” Ujar Mahathir.
“Apa-apa sajalah Madir. Yang penting kau bahagia. Jomlah ke kantin. Aku dah lapar ni.” Shukri bangun dari tempat duduknya lalu menuju ke luar kelas untuk ke kantin diikuti oleh Fadzrin dan Mahathir. Mereka bertiga menuruni tangga lalu menuju ke kantin.
* * * * * * * * * * *
Di satu sudut sekolah terdapat taman bunga. Taman itu dihiasi dengan pelbagai jenis bunga yang harum lagi menarik untuk dipandang. Susunan bunga yang kemas, rumput yang sentiasa pendek dan mempunyai hiasan-hiasan taman yang menarik. Semuanya hasil kerja oleh pekebun yang rajin terhadap tugasnya. Pemandangan agak harmoni jika dilihat. Amat menyegarkan dan sesuai dilihat ketika tekanan stress datang. Pasti dapat menenangkan fikiran. Di situ juga terdapat pondok yang dibina khas untuk kawasan rehat.
“Hmm.. cantiknya bunga-bunga di sini. Suka saya melihatnya.” puji Nuraini. Sememangnya dia suka dengan apa yang dilihatnya itu. Ingin sekali dia petik bunga yang ada di taman itu, namun niatnya itu terbatal kerana papan tanda mengatakan ‘Dilarang memetik bunga’. Jadi, bunga itu hanya mampu dipandang sahaja.
“Memang cantikkan. Saya pun suka juga melihatnya. Ia membuat saya tenang apabila melihatnya.” sokong Hasyikin pula. Nuraini kembali duduk di bangku yang diperbuat daripada kayu. Dia membuka botol minumannya lalu minum.
“Hmm.. Ekin, boleh tak saya tanya awak sikit?”
“Boleh. Tanya pasal apa?”
“Err.. ni pasal pelajar lelaki tadi tu. Yang namanya Mahathir tu.” ujar Nuraini sambil mengelap mulut menggunakan sapu tangannya yang berwarna hijau.
“Hah, ni kenapa tanya pasal Mahathir? Dah jatuh hati ke?” usik Hasyikin. Nuraini tergelak mendengar usikan Hasyikin itu.
“Bukanlah. Cuma..” Nuraini tak tahu nak berkata apa lagi agar rakan barunya itu tidak salah anggap dengannya.
“Oklah. Tak payahlah nak malu-malu. Saya gurau sajalah. Nama dia Mahathir. Dia tu agak gila-gila sikit orangnya. Kadang-kadang tu pandai ponteng kelas juga tapi dia tu sebenarnya rajin. Baik hati jugalah orangnya. Dia tu selalu hang out dengan dua kawan rapatnya iaitu Shukri dan Fadzrin. Tapi saya ada satu amaran nak bagi kat awak.”
“Amaran? Kenapa pula?” Nuraini tertanya-tanya.
“Yang aku dengar dia tu agak playboy sikit. Selalu sangat bertukar teman wanita. Mulut dia tu memang manis kalau bercakap tapi disebalik kata-kata manisnya itu ada maksud yang tersirat. Di sekolah ni dia dapat gelaran kasanova dalam kalangan pelajar perempuan tahu tak.” Hasyikin bercakap panjang lebar. Nuraini hanya diam mendengar. Geli juga hatinya bila teringat kembali apa yang dikatakan oleh Mahathir tadi. ”Diberi gelaran ‘Jejaka Tampan’ konon..” desis hatinya.
“Kalau macam tu mesti dia ada banyak girlfriend kan?” soal Nuraini.
“Sudah tentulah. Tapi menurut sumber yang kami tahu, kalau tak silap aku girlfriend dia yang terkini tingkatan empat. Dengar-dengar girlfriend dia kali ni cinta mati betul sama dia. Pernah sekali pelajar tingkatan tiga nyaris ditampar oleh girlfriend nya itu hanya kerana dia nampak Mahathir bergurau senda dengan pelajar tersebut.” Nuraini hanya mengangguk. Kini dia tahu serba sedikit pasal lelaki itu. Tak sangka pelajar yang bernama Mahathir itu menjadi rebutan pelajar-pelajar perempuan di sekolah barunya itu.
“Aini, kau ok tak? Tiba-tiba saja termenung.” Hasyikin menyoal kerana secara tiba-tiba Nuraini diam seribu bahasa.
“Eh, saya oklah! Tak ada apa-apa.” Tersentak Nuraini daripada lamunannya. ”Eh, mana Izzati ni? Takkan beli kat kantin pun lama.”
“Iyalah. Jom kita cari dia. Entah-entah dia sesat di sekolah ni.” gurau Hasyikin. Nuraini tergelak. Mereka kemudiannya berlalu pergi dari situ.
* * * * * * * * * * *
Dia merasa geram. Rakan-rakannya masih lagi tertawa. Bila disuruh diam, mereka hanya ketawa. Semuanya gara-gara kejadian yang berlaku di kelas tadi.
“Woi! Berhentilah ketawa tu. Adalah yang kena sepak di muka ni nanti.” Mahathir memberikan amaran. Fadzrin menahan ketawa. Begitu juga Shukri.
“Hehe relax bro. Janganlah marah.” Ujar Shukri.
“Kamu ni tak habis-habis nak ketawakan aku. Beginikah kawan? Adakah patut kamu ketawakan aku. Sepatutnya kamu support aku.” Mahathir geram.
“Buat apa kami buat begitu. Kan kau tu kasanova. Pakar dalam mengurat. Mula-mula kami fikir kau dapatlah tackle si Nuraini tu. Rupa-rupanya tak dapat. Haih.. kesian aku tengok kau ni. Haha..” kata Shukri sambil menghirup air minumannya. Terlalu banyak ketawa tadi membuatkan tekaknya haus.
“Hmm.. kalau macam ni jatuhlah saham kau.” Usik Fadzrin.
“Aku rasa tak payahlah kau nak mengurat si Nuraini tu. Dia tu macam susah nak rapat dengan sembarangan lelaki. Kau teruskan sajalah dengan girlfriend kau yang sekarang ni. Mungkin ni sesuatu petanda yang suruh kau jangan mainkan perempuan lagi. ” Shukri memberikan nasihat kepada Mahathir.
“Betul tu Madir. Aku tengok si Nuraini ni nampak macam gadis yang baik. Kau lupakan sajalah niat kau tu.” Fadzrin menyokong apa yang dikatakan oleh Shukri itu. Mahathir hanya mendengus geram. Berani kamu merendahkan aku. Tak apa, kamu tunggu saja.
“Hmm.. kamu terlalu memandang rendah dengan aku. Kamu tengoklah nanti. Aku akan pastikan dia akan jatuh ke tangan aku juga. Tiada perempuan kat sekolah ni yang aku tak boleh dapat.” Mahathir berazam, dia tidak akan sesekali melepaskan gadis itu. Dia berasa tercabar dengan kata-kata rakan-rakannya yang menyuruh dia berhenti sahaja mempermainkan perempuan. Seolah-olah mereka memandang rendah kepadanya. Kalau benar gadis yang bernama Nuraini itu susah didekati, itu yang dia lebih suka. Seandainya dia berjaya mencairkan hati Nuraini, pasti rakan-rakannya itu akan menyesal dengan apa yang mereka katakan.
Rakan-rakannya itu hanya mengeluh. “Apalah kau ni. Orang bagi nasihat tak nak dengar. Sudahlah, jom kita ke kelas. Tak lama lagi masa rehat nak habis.” Kata Fadzrin. Lalu dia dan rakannya yang lain bergerak menuju ke kelas mereka.
* * * * * * * * * *
Suasana pembelajaran berjalan seperti biasa. Para pelajar kelihatan tekun mendengar setiap ilmu yang disampaikan. Ada yang sedang mencatat nota untuk rujukan, ada juga yang hanya mendengar setiap apa yang dikatakan oleh guru. Begitu juga dengan keadaannya di kelas 5 Al-Farabi. Guru subjek Bahasa Inggeris mereka iaitu, Encik Amirul sedang memberikan ilmu mengenai tips-tips untuk membuat karangan yang terbaik. Lalu, dia mengarahkan anak-anak didiknya membuat karangan mengenai keluarga. Setelah itu, mereka pun melakukan tugas yang diarahkan oleh guru mereka. Di samping itu juga, ada sesetengah yang masih leka dengan arahan yang diberikan.
“Aduhai! Malasnya aku membuat karangan ni. Terutama sekali karangan subjek Bahasa Inggeris.” Mahathir mengeluh.
Memang subjek Bahasa Inggeris merupakan subjek yang tidak digemarinya. Apakan tidak, setiap kali pengambilan buku prestasi akademik subjek Bahasa Inggeris sahaja yang akan mencacatkan keputusannya. Pasti dia akan dapat gred D atau E untuk Bahasa Inggerisnya. Gred yang paling terbaik dia pernah dapat pun hanyalah C minus. Rakannya, Shukri yang duduk di sebelah turut memahami apa yang dialami oleh Mahathir itu.
“Sabarlah bro. Kita ni senasib. Aku pun bukannya pandai sangat dalam subjek Bahasa Inggeris ni. Sebab itulah setiap kali waktu subjek Bahasa Inggeris, aku dah mula rasa malas.” Shukri turut mengeluh. Seolah-olah menyokong akan keluhan yang dikatakan oleh Mahathir itu. Fadzrin yang dari tadi mendengar keluhan mereka itu hanya tersenyum. Agak terganggu juga apabila mendengar luahan hati mereka itu. Mahu sahaja dia mengendahkan rakan-rakannya itu, tapi apakan daya kedudukan tempat duduknya yang berada di tengah-tengah rakan-rakannya itu memang sudah takdir. Terpaksa jugalah dia mendengar biarpun tidak mahu mendengar.
“Kamu berdua ni asyik mengeluh sahaja. Berhentilah mengeluh. Cuba kamu buat perubahan sikit. Bukannya susah juga subjek Bahasa Inggeris ni. Kalau kamu faham betul-betul, memang senang kamu mahu pandai dalam subjek ni.” Fadzrin memberikan nasihat kepada rakan-rakannya itu. Dia pun turut bersimpati dengan apa yang dialami oleh dua orang rakannya itu. Memang dia akui, subjek Bahasa Inggeris sememangnya subjek yang agak susah untuk mendapat gred yang terbaik. Dirinya sendiri pun dahulu sukar untuk mendapat gred yang baik namun mungkin sudah anugerah yang diberikan oleh Allah s.w.t, dia senang untuk memahami setiap apa yang diajar. Dengan itu, dia sering mendapat gred yang bagus untuk subjek Bahasa Inggeris.
“Kau cakap memanglah senang. Kau tak tahu apa yang kami rasakan. Otak kami tak macam otak kau.” Mahathir mencebikkan bibirnya. Fadzrin hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. “Memang lemah semangat betullah kawan-kawan aku ni.” Getus Fadzrin di dalam hatinya.
“Aduhai! Macam manalah aku nak cemerlang dalam SPM kalau subjek Bahasa Inggeris pun aku tak boleh buat dengan baik.” Sekali lagi Mahathir mengeluh. Bila mendengar keluhan Mahathir itu, membuatkan Fadzrin geram. Bukan apa, cuma dia agak terganggu. Disaat dia tengah mencari idea untuk karangannya, saat itu jugalah rakan-rakannya membuat dirinya berasa terganggu dengan segala bunyi yang ada. Dia paling pantang apabila dirinya sedang fokus membuat sesuatu, ada sahaja yang mengganggu.
“Boleh kamu diam sekejap? Susah aku mahu buat karangan ni kalau kamu berdua asyik meluahkan keluhan kamu yang tak pandai habis-habis tu. Cubalah kamu pergi minta ajar dengan cikgu. Alang-alang dia tak sibuk, kamu pergilah minta ajar.” Fadzrin memberikan cadangan. Dia berharap agar rakan-rakannya itu akan mendengar nasihatnya itu.
Shukri menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak mahulah. Lagilah aku tak faham kalau Cikgu Amirul yang ajar.”
“Jadi, macam mana kamu mahu pandai kalau dengan Cikgu Amirul pun kamu tak mahu minta ajar?” ujar Fadzrin.
“Hmmm.. Kenapa bukan kau sahaja yang ajar kami? Kau pun boleh dikatakan agak pakar juga dalam subjek Bahasa Inggeris.” Mahathir memberikan cadangannya pula.
“Betul juga tu. Kau selalu dapat gred yang baik untuk subjek Bahasa Inggeris. Mungkin kalau dengan orang yang sebaya dengan kami ni ajar kami, kami lebih senang untuk faham.” Shukri menyokong cadangan yang diberikan oleh Mahathir itu. Fadzrin berfikir sejenak. Cuba untuk mempertimbangkan cadangan rakan-rakannya itu. Dia bukannya tidak mahu mengajar tapi dia merasakan ilmu yang dia ada pun belum cukup sempurna. Apatah lagi untuk memberi tunjuk ajar dengan orang lain.
“Aku rasa aku tak bolehlah. Lagipun aku ni bukannya pandai sangat. Sikit-sikit tu bolehlah. Tapi kalau nak ajar orang ni, memang aku tak pandai. Kalau kamu mahu minta ajar, kamu mintalah tunjuk ajar dengan Albert. Dia tu kalau speaking, mengalahkan mat saleh. Selalu pula dapat markah tinggi dalam Bahasa Inggeris. Mungkin dia orang yang paling sesuai untuk kamu minta tunjuk ajar.” Fadzrin menjelaskan dengan sebaik mungkin. Berharap agar rakan-rakannya itu tidak terasa hati dengannya. Bukannya dia tamak ilmu tapi memang dia tak mampu.
“Agak-agaklah. Kau mahu kami minta ajar dengan budak tu? Kau ni dah hilang akal agaknya. Dia tu selalu ponteng sekolah. Selalu ke kafe siber. Minat gila dengan game DOTA. Nanti dia ajar kami pasal DOTA, kami jawab exam pasal DOTA pula. Hancur kami.” Ujar Mahathir.
Shukri dan Fadzrin tergelak serentak. Ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Mahathir itu. Albert adalah seorang pelajar yang agak bermasalah di dalam kelas mereka. Setiap kali minggu persekolahan, namanya pasti akan tercatat di dalam buku rekod kedatangan pelajar kelas mereka kerana tidak hadir. Bila ditanya oleh guru kelas sebab tidak hadir ke sekolah, dia pasti akan berkata dengan alasan yang sama iaitu demam. Diminta surat sakit, tidak pula pernah diberi. Hanya berehat di rumah sahaja katanya. Apabila diselidiki betul-betul, rupa-rupanya dia ponteng sekolah. Pernah beberapa kali dia dilihat melepak di kafe siber. Namun, setelah dinasihati oleh guru kaunseling, dia mulai berubah. Selalu hadir ke sekolah. Prestasi akademik pun semakin baik. Tapi, hobi dia untuk ke kafe siber masih tetap dilakukan. Game yang paling dia minat ialah DOTA. Tanya sahaja pasal DOTA, lancar sahaja mulut dia berbicara soal itu. Setiap cara-cara untuk bermain, semuanya sudah melekat di otak dia.
“Hmm.. Oklah. Aku tolong kamu. Tapi, aku tolong setakat yang aku mampu.” Fadzrin bersetuju membantu mengajar mereka. Tidak salah rasanya kalau dia bantu rakan-rakannya itu.
“Hah, macam tu lah bro.. Yang penting kau sudi nak tolong kami. Bila kau boleh ajar kami?” Soal Mahathir. Fadzrin berfikir sejenak. Dia sedang mencari waktu yang sesuai agar tidak bertentangan dengan jadual waktunya. Lalu, dia mendapat satu idea.
“Aku rasa waktu yang sesuai pada hari kita buat study group tu lah. Masa tu, banyak yang kita boleh bincang. Kalau lepas persekolahan, aku sibuk sikit.” Jelas Fadzrin dengan sebaiknya.
Mahathir dan Shukri mengangguk tanda setuju. Mereka memahami keadaan Fadzrin sekarang ini. Dia memang agak sibuk pada tahun ini kerana dia merupakan seorang pengawas perpustakaan. Setiap kali lepas habis persekolahan, dia akan terus menuju ke perpustakaan untuk melakukan tugasnya. Selesai sahaja tugasnya di perpustakaan, dia pulang ke rumah dan kemudian itu pergi ke kelas tuisyen-nya.
“Bah, sebagai langkah pertama kalau mahu pandai dalam subjek Bahasa Inggeris ni, kenalah buat dulu karangan ni. Nanti Cikgu Amirul suruh hantar, belum siap kena denda pula nanti.” Kata Fadzrin lalu menyambung semula kerjanya.
“Yes sir!” Serentak Mahathir dan Shukri berkata sambil memberikan tabik hormat kepada Fadzrin seperti mereka sedang menghormati pegawai polis. Fadzrin hanya tersenyum melihat gelagat kedua-dua rakannya itu.
* * * * * * * * * *
Matahari sudah berada di puncak. Bahang panas di waktu tengah hari sudah mulai membara. Setiap pelajar pada sesi pagi melangkah keluar kerana waktu pulang sekolah sudah tiba. Manakala untuk sesi petang pula, pelajar-pelajarnya sudah mulai melangkah masuk ke dalam kawasan sekolah. Nuraini dan rakannya, Siti Syuhaidah berjalan bersama menuju ke tempat perhentian bas yang terletak 1 kilometer dari sekolah mereka. Meskipun mereka memakai paying untuk menghalang cuaca matahari namun kepanasannya tetap kuat.“Huh.. Panas betul hari ni aku rasa. Macam kat dalam microwave pula.” Ujar Siti Syuhaidah sambil mengipas dirinya.
“Alaa, tahanlah sikit Siti. Nanti sampai kat rumah awak pasanglah kipas dan penghawa dingin rumah awak. Segarlah awak nanti.” Balas Nuraini.
Siti hanya tergelak. “Hmm.. Bagus betullah cadangan kau tu Aini. Nanti bil elektrik rumah aku tinggi, botak kepala bapa aku nak membayarnya.”
Semasa mereka melintasi pondok di luar sekolah mereka, Siti ternampak seseorang yang dia kenal dalam sekumpulan pelajar di pondok itu. Lalu, dia memanggil orang tersebut.
“Hoi Madir! Apa kau buat sana hah? Dating sahaja kerja kau sana.” Usik Siti. Mahathir yang sedang duduk berbual dengan girlfriend nya terkejut dengan panggilan itu. Geram dengan usikan itu. Budak yang bernama Siti ni selalu sahaja mengacau dia. Tak kira di mana, pasti Siti akan mengacaunya. Lalu, dia menoleh ke arah Siti. Baru sahaja mahu membalas balik usikan Siti itu, dia terdiam. Niatnya terbatal kerana Nuraini turut ada bersama Siti. Dia terus berdiri dan menjarakkan dirinya sedikit daripada girlfriend nya agar Nuraini tidak nampak apa yang dia lakukan. Siti berasa pelik. Kenapa Mahathir tidak membalas balik usikannya itu. Selalunya kalau dia mengusik Mahathir, pasti dia akan membalas balik dengan ejekan atau apa-apa sahaja. Siti mengandaikan Mahathir tidak membalas balik mungkin sebab nak control macho di hadapan girlfriend nya.
“Oklah Madir. Kami jalan dulu. Kalau dating tu jangan lama-lama. Nanti bapa marah. Hehe..” Seloroh Siti lagi. Dia rasa puas hati hari ini kerana Mahathir langsung tidak membalas balik usikannya itu. Baru dia tahu siapa aku.
Nuraini yang dari tadi senyap lantas bersuara.
“Siti, awak tak takutkah kalau awak kacau Mahathir macam tu?”
“Kenapa pula aku nak takut? Madir tu bukan makan orang pun.” Soalnya kembali kepada Nuraini.
“Tak, bukan sebab tu. Awak tak takut kalau nanti teman wanita dia datang serang awak? Saya dah dengar cerita daripada Hasyikin pasal Mahathir. Dengar-dengar teman wanita dia sekarang ni seorang yang kuat cemburu.” Nuraini teringat kembali cerita Hasyikin pada waktu rehat tadi. Cerita mengenai teman wanita Mahathir yang nyaris menampar pelajar tingkatan tiga gara-gara Mahathir.
“Oh, pasal tu rupanya. Aku tak takutlah. Lagipun girlfriend dia tu tahu juga yang aku ni kawan sekelas dia. Kalau tiba-tiba dia datang serang aku, memang aku rasa budak tu dah hilang akal agaknya. Dah tahu kami berkawan, masih nak cari pasal. Hehe.. sudahlah. Daripada kita risau pasal benda ni bagus kita singgah dulu di kedai aiskrim tu. Orang cakap aiskrim kat sana sedap. Jom!” Pelawa Siti kepada Nuraini. Mereka berdua jalan beriringan lalu masuk ke dalam kedai aiskrim tersebut.
“Dir, kenapa ni? Tiba-tiba saja senyap.”
Mahathir tersentak sedikit apabila ditegur teman wanitanya. Berfikir mengenai Nuraini telah membuatkan dia termenung sebentar.
“Nothing..” Jawab Mahathir pendek. Nadzeirah bingung dengan kelakuan Mahathir sekarang ini. Tadi ok saja, tiba-tiba moodnya berubah. Mahu bertanya lagi namun dipendam sahaja. Tiba-tiba Mahathir berdiri lalu menyangkutkan beg di bahu kanannya.
“Eh, Dir nak ke mana pula ni?” Soal Nadzeirah.
“Dir rasa kurang sihatlah. Nak balik dulu. Nanti Dir call ok.” Hari ini moodnya kurang baik. Usai bercakap, dia terus berlalu pergi meninggalkan teman wanitanya itu. Nadzeirah hanya diam memerhati Mahathir yang pergi meninggalkannya.
* * * * * * * * * *
Beg sekolahnya diletakkan di atas meja belajarnya. Satu keluhan penat terluah sebelum Fadzrin melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk. Begitu banyak sekali tugas yang harus dilakukan olehnya hari ini. Dia melihat jam di dinding.“Hmm.. Jam tiga sudah rupanya.” Dia bingkas bangun dan menuju ke mandi untuk mencuci mukanya. Sebelum itu, dia mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam laci. Dia mahu tahu sekiranya ada mesej penting daripada sesiapa. Ada 3 missed call. Dia terus melihat nombor yang meninggalkan 3 missed call untuknya. Bila dia melihat nombor tersebut, dia seakan-akan kenal nombor ini. Macam mana dia boleh dapat tahu nombor aku ni? Aku baru saja beli nombor ni dua minggu lepas. Getus hatinya. Kebingungan membelenggu dirinya. Setahunya, nombornya yang baru ini hanya diketahui oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya. Fadzrin telah menukar nombor telefon bimbitnya. Dia sengaja berbuat begitu untuk menghapuskan sesuatu, iaitu memori pahitnya. Semua memori yang berkaitan dengan seorang insan yang bernama Amyrah. Orang yang pernah bertakhta di hatinya sebelum ini. Insan itu jugalah yang telah melukakan hatinya. Terkenang kembali saat-saat dia bertemu dengan gadis itu. Fadzrin bertemu dengan Amyrah ketika majlis hari jadi sepupunya. Pada ketika itu, mereka malu untuk bertegur sapa. Atas pertolongan sepupunya sendiri, mereka telah berkenalan. Malah saling jatuh cinta. Setahun mereka menjalinkan hubungan. Namun disebabkan atas masalah yang tidak dapat dielakkan, mereka telah berpisah.
Fadzrin meletakkan semula telefon bimbitnya di tempat asal. Lalu, memegang dahinya. Dia malas mahu mengingati semula memori-memori yang hanya membuatkan hatinya berasa sakit. Pintu biliknya diketuk. Tersentak dia sekejap daripada lamunannya. Dia membuka pintu biliknya dan melihat ke arah kakaknya, Erina.
“Hish, adik ni. Kakak ketuk dari tadi, adik langsung tak buka. Sakit tangan kakak tau.” Rungut kakaknya sambil bercekak pinggang. Fadzrin hanya tersenyum mendengar rungutan kakaknya itu.
“Alaa.. Sorry la kak. Adik tak perasan pun kakak ketuk tadi.”
“Hmm.. Yalah tu. Sudahlah, jom tolong kakak angkat barang dari kereta. Banyak sangat tu. Tak larat kakak mahu angkat sendiri.” Ujar kak Erina.
Kebiasaannya kakaknya itu akan pulang dari butik pada jam 2.30 p.m.. Sebelum balik ke rumah, kakaknya itu akan singgah di supermarket untuk membeli barang keperluan harian.
“Tak mahulah. Penat betul adik hari ni. Baru sahaja adik sampai di rumah ni. Bagilah peluang adik rehat dulu.”
“Ah, kakak tak peduli semua tu. Jom tolong kakak sekarang juga.” Kak Erina menarik tangan adiknya itu lalu menolaknya dari belakang seperti sedang menolak troli.
“Penatlah. Kakak ni pun satu, siapa suruh beli barang banyak sangat. Kan adik juga yang jadi mangsa kena tolong angkat barang.” Rungut Fadzrin.
“Sudah, jangan banyak cakap. Tolong angkat pun malas. Apalah adik ni.”
Fadzrin mengeluh. Kak Erina hanya senyum melihat kerenah adik lelakinya itu yang kebudak-budakan itu. “Manja betul adik aku ni. Hihi..” Monolog Kak Erina dalam hati.
Fadzrin adalah satu-satunya adik yang dia ada selain abangnya. Erina pula merupakan satu-satunya perempuan di dalam rumah mereka. Mereka terdiri daripada tiga adik beradik. Abang sulungnya, Izrul, kakaknya dan diri Fadzrin sendiri. Ibu bapa mereka telah meninggal dunia akibat kemalangan pada dua tahun lalu. Tinggallah mereka bertiga sahaja. Mujur sahaja abangnya sudah ada pekerjaan waktu itu. Dapat juga dia menampung mereka tiga beradik. Tamat sahaja pengajian di kolej, kak Erina terus membuka sebuah kedai butik pakaian bermodalkan gaji kerja sambilan dan pinjaman bank. Kini, alhamdullilah hidup mereka dalam keadaan stabil.
“Fuyoo! Banyaknya beli barang. Nak buat kenduri kahwinkah kak? Hehe..” Seloroh Fadzrin sambil mengeluarkan beberapa bakul barang dari but kereta Avanza Kak Erina.
“Ada-ada sahaja adik ni. Taklah banyak sangat.”
Perut Fazdrin tiba-tiba berkeroncong. Baru dia sedar, dari tadi dia belum makan tengah hari. Semasa dalam perjalanan pulang sekolah Fadzrin terlupa untuk membeli mi segera di kedai runcit.
“Kak, ada beli apa-apa makanan ringan tak? Lapar. Belum makan lagi ni.”
“Ada. Kat bakul kuning tu ada kek cawan kakak beli. Lepas simpan barang-barang tu semua, makanlah.” Kak Erina membawa dua bakul berisi barang dapur dan meletakkannya di atas meja dapur. Setelah menyimpan semua barang, Fadzrin mengambil kek cawan di bakul kuning tersebut. Dengan lafaz bismillah, dia makan. Sedap.
“Sedapkan? Suap satu dulu.” Kak Erina membuka mulutnya. Fadzrin menghalakan satu kek cawan ke arah mulut kakaknya. Tapi, dia menarik kembali sebelum kakaknya itu sempat menggigit.
“Kalau mahu, ambillah sendiri. Mahu minta suap-suap konon.” Usik Fadzrin. Lantas kak Erina mencubit adiknya itu. Kemudian Fadzrin menjentik jari kakaknya dan lari. Kak Erina hanya menggelengkan kepalanya. Lalu menyambung kembali kerja menyusun barang di dapur.
“Hmm.. Adik. Adik. Perangai macam budak-budak betullah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan