BAB TIGA
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat. Semua pelajar menuju ke kantin untuk membeli makanan dan minuman. Ada juga yang membawa bekal sebagai langkah berjimat. Suasana di kantin sangat riuh dengan pelajar-pelajarnya yang sangat bising. Berebut-rebut untuk membeli makanan. Peraturan telah diingkari begitu sahaja. Para pengawas terpaksa mengawal keadaan yang agak tidak terkawal itu. Suhu agak panas di kantin disebabkan para pelajar berkumpul sehingga menggabungkan semua haba badan. Tak kurang juga bau-bau badan berpeluh yang sangat menusuk hidung.
“Shuk.. cuba kau tengok siapa tu,” Bisik Fadzrin.
Shukri melihat ke arah tempat yang dimaksudkan oleh Fadzrin. Ada sekumpulan pelajar perempuan sedang menuju ke Pusat Koperasi. Dalam ramai-ramai pelajar perempuan itu, mata Shukri tertumpu pada seorang pelajar perempuan. Gadis yang berkulit cerah, agak tinggi dan mempunyai senyuman manis. Hasmiera.. memiliki nama yang cantik seperti orangnya. Gadis itulah yang diminati oleh Shukri sejak dari tingkatan empat lagi. Semuanya berlaku daripada laman sosial Facebook. Shukri teringat kembali bagaimana dia boleh mengenali gadis itu. Waktu itu Shukri sedang mengemaskini profile Facebooknya. Lalu dia memeriksa Facebook rakan-rakannya. Klik sana, klik sini, komen sana, komen sini dan secara tidak sengaja dia telah termasuk halaman Facebook orang lain. Baru sahaja dia mahu kembali ke halaman Facebooknya sendiri, dia terlihat gambar pemilik Facebook itu yang dianggapnya sangat cantik. Shukri terpegun seketika dengan kecantikan gadis tersebut.
“Hmm, cantik juga orang ni.” katanya di dalam hati. Dia memeriksa maklumat diri pemilik akaun Facebook itu. Nama Facebooknya HazmiEra CutezZz.. lahir pada tarikh 10 Mac 1994 dan bersekolah di SMK Putatan. ”Wow! Kami bersekolah di sekolah yang sama rupanya..” Namun Shukri tidak pernah melihat orang ini di sekolah sebelum ini. Dengan tidak teragak-agak, Shukri telah menghantar permintaan untuk menjadi rakan Facebook gadis itu. Selang beberapa minit, permintaannya itu telah diterima oleh pemilik Facebook itu. ”Dia pun online rupanya..” Secara rasminya Shukri telah menjadi rakan Facebook gadis itu. Peluang cerah nampaknya untuk aku berkenalan. Tapi macam mana ya.. Hah! Shukri dapat satu idea. Dia telah memberikan komen kepada gambar Facebook gadis itu.
Nice picture..
Klik!
Komen telah dihantar. Sekarang ni bergantung kepada gadis itu untuk membalas kembali komen itu atau tidak. Seminit berlalu, komen Shukri telah mendapat respon. Dia membaca komen itu.
Thanks! Tapi takkan gambar sahaja yang cantik? Orangnya pula macam mana? Hehe J
Berbunga riang hati Shukri apabila responnya telah dibalas. Lalu Shukri pun membalas komen itu.
Orangnya pun boleh tahan cantik juga.. Hehe
Klik!
Hehe siapa nama awak ye? Sekolah kat mana?
Shukri tersenyum riang. Nampaknya niat dia untuk berkenalan gadis itu dengan lebih dekat lagi semakin cerah. Bermula daripada situlah bibit-bibit kemesraan berlaku antara mereka. Setiap kali Shukri online, pasti Hasmiera pun akan online. Dari situlah mereka saling kenal antara satu sama lain. Dari A sampai Z Shukri tahu mengenai Hasmiera. Namun, keadaan yang sebaliknya pula berlaku apabila mereka bertemu di sekolah. Mereka tidak semesra seperti di laman sosial mereka. Shukri dan Hasmiera tak pernah bertegur sapa di sekolah. Masing-masing malu untuk berkata. Bila mereka berdua terserempak, mereka berdua hanya mendiamkan diri. Mereka hanya akan senyum sesama sendiri. Hinggalah ke hari ini, keadaan mereka hanya kekal macam begitu sahaja. Tiada perubahan langsung.
“Kalau iya pun sedang melihat gadis idaman, janganlah tengok lama-lama. Orang fikir kau dah gila pula nanti.” Suara Fadzrin menyedarkan Shukri daripada lamunannya. Shukri tersentak. ”Hmm.. jauh juga aku mengelamun tadi,” gerutu Shukri di hati. Fadzrin yang melihat hanya tersenyum melihat keadaan rakannya itu. Pandai angau juga budak ni rupanya. Ingatkan budak macam nerd ni tak pandai jatuh cinta. Shukri yang dikenalinya dari tingkatan empat lagi memang macam itu. Dalam bab-bab pelajaran, memang dia agak pakar. Tak pernah tertinggal buku-buku sepanjang persekolahan. Semuanya lengkap mengikut jadual. Dari segi penampilan pula, boleh tahan jugalah. Rambut terpacak sedikit, berkulit agak kemerah-merahan cerahnya, baju sekolah pula sentiasa kemas. Kuku sentiasa pendek dan orangnya pembersih. Agak aktif juga dalam bidang kokurikulum di sekolah terutamanya dalam kegiatan unit beruniformnya sendiri iaitu kadet bomba. Pernah mewakili sekolah untuk pertandingan kawad hos antara sekolah-sekolah. Tapi bila masuk sahaja bab-bab bercinta ni, memang Shukri tak tahu apa-apa langsung. Dia tak pernah ada pengalaman bercinta, apatah lagi dicintai oleh orang lain.
“Shuk.. daripada kau asyik memandang dia dari jauh, aku sarankan bagus kau luahkan sahaja isi hati kau dengan dia. Daripada kau berterusan macam ni, tak membuahkan apa-apa hasil kau tahu tak.”
Shukri hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata rakannya itu. Bukan dia tak mahu meluahkan isi hatinya cuma dia berasa agak malu. Siapalah dirinya jika mahu digandingkan dengan Hasmiera, gadis yang agak popular dalam kalangan pelajar-pelajar lelaki. Dia hanyalah seorang lelaki yang sederhana jika nak dibandingkan dengan Hasmiera yang merupakan pelajar cemerlang PMR yang mendapat 7A dan dia juga dikatakan anak orang kaya kerana khabarnya ayahnya seorang yang berpangkat Dato. Mempunyai sebuah syarikat yang sangat gah. Golongan elitlah katakan. Mereka ternyata berbeza kedudukannya. Shukri mengibaratkan Hasmiera seperti seorang tuan puteri sedangkan dirinya tak ubah macam pengawal istana. Langsung tiada kelayakan untuk bergaul.
“Woi! Kau dengar tak ni?” Fadzrin menolak kepala rakannya itu. Sekali lagi, Shukri tersentak dari lamunannya.
“Aku dengarlah. Alaa, relax lah bro! Masa masih panjang lagi, bila-bila masa sahaja aku boleh mengurat dia tu cuma menunggu masa yang sesuai. Sekarang ni aku fokus dalam pelajaran dulu.” Ujar Shukri.
“Tunggu masa yang sesuai konon. Alaa, kau cakap sajalah yang kau tu sebenarnya malu. Aku tahulah Shuk, setiap kali kau dengan dia berselisih kamu cuma senyum saja. Kadang-kadang tu kau macam mengelak daripada terserempak dengan dia. Nak harapkan kau luahkan isi hati dengan dia, jangan haraplah. Tunggu ayam jantan bertelur pun belum tentu kau dah luahkan perasaan. Bertegur sapa dengan dia pun kau malu. Lemahlah kau ni,” perli Fadzrin. Shukri menggelengkan kepalanya biarpun hakikatnya apa yang dikatakan oleh rakannya itu benar belaka. Sememangnya dia berasa malu nak bercakap dengan gadis idamannya itu, apatah lagi untuk meluahkan perasaan yang sangat asing pada dirinya kepada orang lain.
“Aku rasa bagus kau cepat-cepat luahkan isi hati kau kat dia. Daripada kau pendam lama-lama, bagus kau luahkan sahaja. Dia tu agak popular juga di sekolah ni. Lambat-laun, pasti ada nanti salah seorang peminat dia luahkan perasaan kat dia. Bila hal tu terjadi, kau juga yang melepas. Padan muka kau!”
Shukri berfikir sejenak. ”Ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Fadzrin tu. Nanti aku juga yang melepas, menyesal pun dah tak guna lagi.” Shukri menggerutu di hatinya. Tapi dia tak tahu apa yang harus dia buat. Adakah dengan menggunakan cara yang sama juga untuk meluahkan hati sepertimana aku berkenalan dengannya melalui Facebook. Akhirnya, dia bingung sendiri.
* * * * * * * * * * *
Tidak jauh dari tempat Shukri dan Fadzrin berehat, terdapat dua merpati sejoli sedang berbual di pondok belakang kantin.
“Hari ni jam berapa Madir balik?” Manja sekali nada suara itu.
“Belum tahu lagi. Eira pula?” Balas Mahathir kepada teman wanitanya, Nadzirah. Gadis itu merupakan teman wanita Mahathir selepas dia berpisah dengan teman wanitanya yang dulu iaitu Liew. Dalam masa beberapa hari sahaja, Mahathir berupaya untuk mencari pengganti.
“Eira pun tak tahu.”
“Hmm, macam nilah. Kalau kelas Eira habis awal, Eira tunggulah di bus stop kat luar sekolah. Ok?” Mahathir memberikan cadangan.
“Ok. Tapi jangan lambat. Eira tak suka menunggu.”
“Ok.” Kring! Loceng berbunyi menandakan habisnya waktu rehat. Semua pelajar sedang sibuk masuk ke kelas kembali. Mahathir mendengus. Baru sahaja mereka bertemu, sudah hendak berpisah semula.
“Oklah, Eira naik ke kelas dulu. Jumpa nanti. Bye!” Baru sahaja teman wanitanya itu mahu berlalu pergi, Mahathir pantas menyambar lengan teman wanitanya itu sebelum dia sempat berlalu pergi. Dia melihat keadaan sekeliling. Takut juga jika ada orang nampak apa yang dia sedang lakukan terutamanya guru displin. ”Habis nanti aku kena ceramah.”
“Eira lupa mahu memberikan hadiah.” Dahi gadis itu berkerut. Hadiah?
“Hadiah apa?” soalnya kepada Mahathir.
Mahathir tersenyum. ”Lupa nak bagi hadiah kat sini..” kata Mahathir sambil menunjukkan jari telunjuknya ke pipi. Teman wanitanya itu hanya tersengih lalu mencubit lengan Mahathir. Aduh! Mahathir mengadu kesakitan. Pedih sekali rasa cubitan itu. Memang layak gadis itu digelar pemotong kulit manusia.
“Gatal!” Kata teman wanitanya itu sambil berlalu pergi. Mahathir hanya melihat sahaja teman wanitanya itu pergi dengan ditemani rakannya. Dia masih lagi menyapu lengannya yang kesakitan gara-gara dicubit. ”Hmm, aku gurau saja tadi tu. Balasannya dapat cubitan pula,” gerutu hatinya.
“Mahathir..”
Mahathir tersentak. Dia takut untuk berpaling ke arah suara yang memanggilnya itu. Takut juga dia jika yang memanggilnya itu guru displin atau pengetua. Akhirnya dia menoleh. Fuh! Mahathir lega. Rupa-rupanya Syafiq, kawan ahli rumah sukannya. Ingatkan siapalah tadi.
“Kenapa?” soalnya.
“Aik, kau dah lupakah? Kan masa perhimpunan tadi kena buat pengumuman. Hari ni kita ada mesyuarat atlet-atlet rumah sukan selepas masa rehat.” jawab Syafiq.
Mahathir menepuk dahinya. Macam mana dia boleh terlupa mengenai perkara itu. Nasib baik Syafiq mengingatkan dia. Kalau tidak, sudah tentu dia akan dimarahi oleh guru rumah sukannya.
“Aduhai! Nasib baik kau ingatkan aku. Sampai jam berapa tu mesyuarat?”
“Tak tahulah. Tapi mungkin sampai waktu pulang sekolah kali.” Syafiq mengagak. Sampai waktu pulang? Bagus tu. Tak payahlah aku masuk kelas. Malas juga aku mahu belajar. Getus hati Mahathir.
“Oklah, apa kita tunggu lagi. Jomlah!” ajak Mahathir. Syafiq hanya menurut.
Suasana di kelas 5 Al-Farabi sangat riuh mengalahkan budak-budak pra sekolah. Ada yang terjerit-jerit macam pontianak, ada yang main baling-baling kertas, tak kurang juga ada yang membuat konsert mereka tersendiri dengan menyanyikan lagu-lagu rock dengan alunan yang sumbang. Guru di kelas bersebelahan pun sudah menegur namun teguran itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. Ketua kelas pun sudah menjalankan tanggungjawabnya namun tertewas jua dengan perangai penghuni-penghuni di kelas itu yang sangat nakal.
“Woi! Semua duduk.. guru kelas kita datang!” jerit Ernie tiba-tiba dengan suaranya yang nyaring. Bertempiaran semuanya duduk di tempat masing-masing. Terus berpura-pura membaca buku ataupun menulis. Cikgu Dg.Arifah memasuki kelas itu dengan membawa beg tangannya yang berwarna hitam jenama Prada. Semua pelajar berdiri untuk memberikan salam.
“Assalamualaikum cikgu!”
“Waalaikumsalam. Sila duduk.” Semuanya tertanya-tanya mengapa guru kelas mereka itu datang. Bukan apa, selalunya guru mereka itu sangat sibuk. Amat sukar sekali hendak berjumpa dengannya. Jika ada hal yang ingin dibincangkan, dia hanya akan menyampaikan arahan kepada ketua kelas untuk menyampaikannya kepada pelajar-pelajar yang lain. Cikgu Dg.Arifah meletakkan beg tangannya di meja guru kelas tersebut.
“Baiklah. Cikgu minta perhatian semua yang ada di sini. Hari ini kelas kita akan menerima seorang pelajar baru..” Belum pun cikgu itu habis bercakap, semua orang sudah kecoh. Menanyakan pelbagai soalan.
Kemudian Cikgu Dg.Arifah pun menegur. ”Tolong senyap sebentar. Tunggulah sampai cikgu habis cakap dulu.” Lantas semuanya terus diam mendengar apa yang diperkatakan oleh guru kelas mereka itu.
”Cikgu minta semua pelajar yang ada di sini sila beri tunjuk ajar dan teladan yang baik kepada pelajar baru ini. Faham?” Semua hanya mengangguk. Lalu Cikgu Dg.Arifah pun keluar untuk memanggil pelajar baru itu masuk ke dalam kelas. Suasana menjadi riuh kembali. Seribu satu persoalan sedang bermain di minda semua orang sekarang ini untuk mengetahui siapakah pelajar baru itu. Bagi yang sudah mengetahuinya dari awal lagi, mereka hanya tenang menanti. Seminit berlalu, cikgu pun muncul bersama-sama dengan pelajar baru itu yang sedang memakai beg berwarna merah jambu. Masuk sahaja pelajar baru itu, mata setiap pelajar tertumpu kepada pelajar baru itu. Ada juga kedengaran suara-suara yang sedang berbisik-bisik.
“Baiklah semua. Inilah dia pelajar baru kita. Diminta pelajar baru ini untuk memperkenalkan diri.” Cikgu Dg.Arifah mempersilakan pelajar baru itu untuk memperkenalkan dirinya kepada semua pelajar. Pelajar baru itu melangkah satu langkah ke hadapan. Semua orang merenungnya menyebabkan pelajar baru itu gugup untuk bercakap.
“Assalamualaikum semua. Nama saya Nuraini binti Ismail berasal daripada negeri Selangor.” Lembut sahaja suara itu bertutur sehingga menunjukkan keayuan gadis itu. Berkulit cerah dan mempunyai muka yang apabila orang memandang terasa sejuk mata memandang. Selesai sahaja pelajar baru yang bernama Nuraini itu memperkenalkan dirinya, semua pelajar terus menembaknya dengan peluru-peluru soalan. Ada yang menanya tarikh hari jadi, alamat emel dan pelbagai lagi. Ada juga soalan-soalan yang agak nakal menanya sudah berpunya atau belum. Semua tertawa apabila mendengar soalan itu. Cikgu Dg.Arifah hanya menggelengkan kepalanya melihat kerenah pelajar-pelajarnya.
“Bila birthday kau?” soal Donna.
“Saya lahir 9 Mei.”
“Ada Facebook kah?” usik Raimi. Tersengih-sengih sambil menunjukkan pendakap giginya.
“Hmm.. sudah tentulah ada. Hehehe..” jawab Nuraini sambil tersenyum.
“Nama glamour pula? Kami mahu panggil kau apa?” soal Naufal pula.
“Kamu boleh panggil saya Aini.”
“Oh, panggil kau Aini pula. Hai Aini. Saya Emir, selamat berkenalan.” Emir pula menyampuk sambil melambaikan tangannya. Semua yang mendengar ketawa. Tak kurang juga ada yang geli mendengarnya. Nuraini hanya tersenyum.
“Baiklah semua. Sesi soal jawab sudah habis ya. Lain-lain pula soalan yang kamu tanya dia. Cubalah kamu tanya apa keputusan PMR dia, subjek kegemarankah apakah mengenai pelajaran. Ini semuanya soalan yang mengarut-mengarut pula kamu tanya.” ujar Cikgu Dg.Arifah.
“Itulah kamu! Aku baru mahu tanya tu soalan cikgu tapi diorang sudah bising-bising. Terbatallah niat mahu bertanya.” Ariffin bercakap dengan nada yang temberang.
“Yalah tu. Padahal tadi suara kau saja yang cikgu dengar paling kuat dan banyak bercakap.” Balas Cikgu Dg.Arifah sehingga membuatkan semua pelajar ketawa. Ariffin tunduk malu sambil tersengih. ”Baiklah Nuraini. Kamu boleh duduk di sana di sebelah Cerien. Pergilah.” Nuraini berjalan menuju ke arah tempat duduknya di sebelah kiri Cerien.
“Baiklah. Cikgu mahu keluar sudah ni. Kamu semua jangan bising dan tolong jangan keluar-keluar. Tak payah lagi cikgu mahu tegur kamu banyak kali. Kamu semua sudah mencapai tahap dewasa, tahu sudah mahu bezakan mana yang baik dan buruk. Ketua kelas, jalankan tanggungjawab kamu ok.” Cikgu Dg.Arifah menasihati pelajar-pelajarnya dan kemudian berlalu pergi dari kelas itu. Baru sesaat cikgu keluar, keriuhan kembali bermaharajalela di kelas tersebut. Semua tertumpu kepada Nuraini. Sesi soal jawab bermula sekali lagi.
Ada sesetengah pelajar tidak ambil kisah mengenai pelajar baru itu kerana sibuk menyiapkan tugasan Matematik termasuklah Fadzrin dan Shukri. Mereka hanya melihat pelajar lain menyibukkan diri bertanya kepada pelajar baru itu.
“Faz, kau tengoklah tu. Boleh tahan jugakan budak baru tu,” puji Shukri. Fadzrin hanya mengangguk. Sememangnya wajah Nuraini sedap mata yang memandang.
“Kalau Madir nampak pelajar baru ni, mesti dia suka. Mungkin dia terus cuba menguratkan? Mahu tambah koleksi teman wanitalah katakan. Mana Madir ah?”
“Kan dia ada mesyuarat atlet-atlet sekolah. Dia tengah meeting lah tu.” Jawab Fadzrin.
“Oh..” Entah apalah agaknya akan berlaku sekiranya Mahathir melihat Nuraini. Pasti sesuatu yang menarik akan berlaku. Entah apalah agaknya reaksi Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan