BAB DUA
Perhimpunan telah selesai. Semua pelajar diarah masuk kelas. Ramai yang mahu masuk ke kelas dengan segera kerana tak tahan dengan bahang panas awal pagi yang sudah mulai membara. Sebelum itu, para pelajar harus melalui pemeriksaan atau spot-check oleh para pengawas sekolah. Memang sudah menjadi rutin setiap hari isnin pasti ada spot-check. Banyak gelagat yang boleh dilihat. Ada yang pucat, ketakutan malah ada yang tenang sahaja. Semasa sesi spot-check dijalankan, ada sesetengah pelajar ditahan disebabkan rambut panjang melebihi piawaian yang ditetapkan sekolah. Ada yang ditahan sebab stoking pendek melepasi buku lali, tak kurang juga ada yang ditahan kerana mewarnakan rambut. Kepada yang selamat, mereka terus menuju ke kelas masing-masing. Mahathir dan dua rakannya menuju ke kelas mereka di tingkat satu yang bernama 5 Al-Farabi.
“Fuh! Habis juga akhirnya perhimpunan tu. Awal-awal pagi lagi dah panas. Macam terbakar saja aku semasa perhimpunan tadi. Lama betul pengetua tu berucap. Kalau buat karangan pasal ucapan dia tadi tu, aku rasa boleh sampai lima muka surat. Habis peluh satu badan aku.” rungut Mahathir sambil mengelap peluh di sekitar mukanya dengan saputangan dari kocek seluarnya. Menunggu pengetua habis berucap memang saat-saat yang sangat menyeksakan namun itu memang sudah tanggungjawab pengetua untuk memberikan nasihat, dorongan dan kata-kata semangat kepada pelajar-pelajarnya. Mahathir kepanasan. Mujurlah kipas yang berpusing di atas siling kelasnya sedikit sebanyak dapat menyejukkan badannya.
“Hmm.. lemah betullah kau ni. Baru kena panas sikit sudah merungut.” Ujar Shukri.
“Lemah kau cakap? Kau pun sama saja macam aku. Kau pun aku tengok tadi kepanasan. Siap minta pinjam buku lagi dengan orang mahu menghalang cahaya matahari di muka kau,” Balas Mahathir sambil menolak kepala Shukri. Lalu Shukri membalas balik dengan menolak balik kepala Mahathir. Fadzrin yang duduk di sebelah kanan Shukri hanya tergelak melihat gelagat rakan-rakannya itu. Lucu pula rasanya. ”Macam budak-budak..” Katanya dalam hati.
“Mahathir!”
Mahathir memalingkan mukanya ke arah suara yang agak serak itu.
“Hah, kenapa?” Tanya Mahathir terhadap empunya suara itu.
“Girlfriend kau memanggil di luar.”
“Yang mana satu? Banyak girlfriend aku ni.”
“Ah, gilalah juga kau ni banyak betul girlfriend kau! Hmm.. siapa tu ahh.. si anu bah, hish apa nama dia tu ahh.. Nadzi eh.. eira eh.. apa pula tu nama dia. . ooh! Baru aku ingat. Yang kau gelar Playwood tu. Dia yang panggil kau.” Playwood adalah gelaran yang diberi oleh Mahathir kepada teman wanitanya kerana mempunyai tubuh badan yang agak kurus macam papan.
“Oh, dia..” Mahathir bingkas bangun dari tempat duduknya itu lalu menuju keluar untuk berjumpa dengan teman wanitanya itu. Fadzrin dan Shukri hanya menggeleng-geleng kepala mereka.
“Awal-awal pagi pun mahu dating kah? Agak-agaklah, waktu pulang sekolah takkan tak boleh jumpa. Huhu..” Kata Fadzrin sambil mengeluarkan buku subjek Bahasa Melayu dari laci mejanya kerana selepas ini waktu pembelajaran Bahasa Melayu.
“Biasalah tu. Mesti girlfriend dia takut Madir curang. Kan Madir tu banyak peminat di sekolah ni. Madir pun satu, dia pun layan sesiapa saja perempuan yang tegur dia. Hati perempuan mana yang tak risau,” Balas Shukri. Fadzrin mengangguk tanda setuju.
Memang itulah hakikatnya untuk manusia bernama Mahathir. Siapa tak kenal Mahathir? Seorang atlet sekolah yang sangat berbakat dalam acara lompat tinggi dan lompat jauh. Pernah mengharumkan nama sekolah dengan mewakili acara tersebut ke peringkat kebangsaan dan memenangi pingat. Berkulit hitam manis, rupanya juga tampan dan ketinggiannya yang agak luar biasa menjadi idaman kalbu setiap pelajar perempuan di sekolah tersebut. Digelar sebagai kasanova di sekolah tersebut kerana dalam bab-bab mengurat memang dia pakar. Rasa-rasanya kalau ada anugerah kasanova dibuat, pasti Mahathir sapu semua anugerah tu setiap tahun. Setakat ni tak terkira berapa perempuan dah dia permainkan. Memang boleh pecah rekod.
“Betul tu Shuk.” Suara serak yang memanggil Mahathir tadi tiba-tiba menjadi lembut.
“Eh, kenapa suara kau tu Nad tiba-tiba jadi lembut? Tadi keras. Hehehe..” Gurau Fadzrin. Nad atau Nadiah seorang gadis yang berpewatakkan agak kasar. Namun disebalik sifat kasarnya itu, dia adalah seorang yang senang dibawa berbicara dan happy go lucky orangnya. Berkulit sederhana gelap dan berwajah tenang orangnya.
“Ada-ada sahaja kau ni Faz. Suara aku memang lembutlah setiap hari. Betul tak Shuk?” Soal Nadiah kepada Shukri sambil mengelip-ngelipkan matanya.
Shukri hanya menggelengkan kepala melihat gelagat Nadiah itu. Sememangnya dia rasa lain bila Nadiah cuba untuk berlembut dengannya. Geli dan lucu rasanya. Tiba-tiba Afirah datang dengan keadaan tercungap-cungap seperti baru sahaja menamatkan larian seratus meter.
“Yang kau ni tercungap-cungap macam orang baru beranak ni kenapa?” Soal Fadzrin.
“Ada berita gempak yang aku nak kongsi dengan kamu semua. Aku baru dapat tahu dari guru kelas kita tadi.” Jelas Afirah sambil tercungap-cungap.
“Apa? Apa? Tak sabar nak tahu ni.” Balas Nadiah tak sabar-sabar. Fadzrin dan Shukri hanya berdiam diri. Menunggu apa agaknya cerita gempak yang hendak disampaikan tu. Afirah menarik nafas, kemudian menghembusnya. Barulah dia dapat bercakap dengan tenang.
“Begini.. tadi masa aku nak pergi ambil penyapu di meja cikgu aku nampak cikgu tengah berurusan dengan seorang pakcik ni. Lepas saja mereka habis berbincang, aku pun menyibukkan dirilah dulu sekejap tanya cikgu apa hal tadi tu. Terus cikgu Dg.Arifah cakap dengan aku ada pelajar baru yang akan masuk ke kelas kita hari ni. Huhu..” Jelas Afirah sambil mengurut dadanya. Berdegup pantas akibat keletihan berlari.
“Oh.. baguslah! Bertambah lagilah penghuni kelas kita ni. Pelajar lelaki atau perempuan?” Tanya Nadiah kepada Afirah.
“Cikgu cakap perempuan.”
“Hmm..” serentak Fadzrin dan Shukri memandang ke arah satu sama lain. Lalu tersenyum. Mereka dah boleh agak apa akan berlaku kalau ada pelajar yang baru masuk terutama sekali pelajar perempuan. Pasti orang itu akan menjadi sasaran kasanova sekolah ini. Siapa lagi kalau bukan Mahathir.
“Kamu berdua ni kenapa? Tersengih-sengih, macam ada something saja.” Tanya Nadiah kehairanan.
“Tiada apa-apa. Cuma kami sedang memikirkan hal yang sama. Betulkan Shuk?” Fadzrin melihat Shukri. Dia hanya mengangguk.
“Cikgu datang!” Jerit Vyerna. Memang suara gadis itu agak lantang. Sesuai sangat jadi komander kawad. Semua pelajar bergegas duduk di tempat masing-masing termasuk Mahathir yang masuk ke kelas dengan terburu-buru.
* * * * * * * * * * * *
Sesi pembelajaran sedang berjalan. Guru-guru yang masuk mengajar memberikan segala tunjuk ajar kepada murid-muridnya dan murid-murid pula tengah mendengar dengan tekun terhadap apa yang diajar oleh guru. Bagi kelas yang tiada guru mengajar, suasana di dalamnya ibarat pasar malam. Riuh-rendah sekali. Memang sudah menjadi lumrah para pelajar pasti akan membuat bising jika tiada guru. Pasti banyak yang memulakan projek mereka tersendiri. Ada yang merayau-rayau, ada yang bercerita mengenai hiburan. Yang pelajar-pelajar perempuan pula pasti takkan lengkap hari mereka tanpa sesi bergosip dengan kawan-kawan mereka. Mahu mencari pelajar yang rajin belajar boleh dikira. Jika ada guru displin atau pengetua yang datang atau melintasi kelas, pasti mereka akan memulakan lakonan drama mereka dengan berpura-pura belajar.
Di dalam kelas 5 Al-Farabi pula, sesi pembelajaran Bahasa Melayu sedang dijalankan. Ramai yang menumpukan perhatian sepenuhnya namun ada juga yang bercerita di belakang. Sudah ditegur oleh guru pun, teguran itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. Tiada kesan langsung.
“Faz..” Bisik Shukri. Bisikannya itu tidak didengari oleh Fadzrin. Shukri berbisik lagi namun masih tiada respon. Shukri melastik telinga Fadzrin lalu dia terkejut. Fadzrin pun menoleh ke arah rakannya itu dengan muka yang bingung. ”Apahal pula dia ni? Tiba-tiba lastik telinga aku. Bagus-bagus aku tengah fokus belajar dia pula mengacau,” Gerutu Fadzrin dalam hati.
“Ah, kenapa?” Tanya Fadzrin kepada Shukri dengan nada yang perlahan.
“Kau rasa-rasa bila pelajar baru tu nak masuk?”
“Entahlah. Mungkin lepas masa rehat. Agaknyalah.” Teka Fadzrin.
“Pyra cakap pelajar perempuankan. Kalau orangnya cantik, mesti akan ada orang yang cuba mengurat diakan? Apatah lagi kalau kawan kita yang kat sebelah kau tu. Hehe..” Kata Shukri sambil tersengih.
Fadzrin hanya tersenyum. Mahathir yang duduk di sebelah kiri Shukri kehairanan melihat dua orang rakannya itu dari tadi asyik berbisik-bisik dan tersengih-sengih macam orang gila.
“Woi! Apa yang kamu tengah cerita tu? Kongsi-kongsilah dengan kawan kamu yang kat sebelah ni. Aku pun nak tahu juga.” Kata Mahathir dengan nada perlahan.
Mereka berdua diam. Lalu, saling berpandangan sesama sendiri. Kemudian, Shukri memberi isyarat kepada Fadzrin agar tidak menceritakan apa-apa kepada Mahathir. Kalau boleh biar Mahathir dapat tahu sendiri. Mahathir tertunggu-tunggu, apa hal agaknya yang mereka bualkan sampai tak nak kongsi dengan dia. ”Ni mesti ada apa-apa ni..” Gerutu hati Mahathir.
“Wei, beritahulah apa yang kamu berdua tengah cerita tu. Beritahulah aku. Aku bosan sekarang ni. Cikgu tu entah apa dia ajar. Buat aku rasa mengantuk.”
“Alaa, tiada apa-apalah. Kami cuma cerita pasal masa depan,” Ujar Fadzrin.
“Menipu lagi kau sana. Kalau cerita pasal masa depan, kenapa sampai tersengih-sengih? Dengan kawan sendiri pun mahu berahsiakah? Beritahu sajalah.”
“Hoi, diamlah! Kuat juga suara kau ni. Kalau cikgu nampak kita bercerita, habis kita kena soal jawab nanti.” Balas Shukri pula sambil menunjukkan isyarat diam. Sememangnya waktu pembelajaran Bahasa Melayu sangat ditakuti. Bukan sebab banyak soalan yang susah tapi kerana guru yang mengajar itu tersangatlah garang. Pantang ada yang bercerita, pasti akan disindir atau dibaling pen. Itulah dia Cikgu Nadhirah, guru Bahasa Melayu yang amat tegas sekali dalam mengajar.
“Beritahu sajalah!” Mahathir mendengus kasar. Tanpa disedari nada suaranya tidak lagi perlahan menyebabkan seluruh kelas terkejut. Semua orang melihat ke arah mereka bertiga. Cikgu yang mengajar pun terganggu sekejap. ”Alamak! Teruklah kami. Mesti kena cucilah telinga kami ni oleh cikgu.” Gerutu Fadzrin di hati.
“Mahathir and the gang! Apa yang kamu tengah buat di sana? Kamu tengah berceritakah? Tak nampakkah cikgu tengah mengajar ni. Kurang sopan betul!” Cikgu Nadhirah menegur. Merenung tajam ke arah mereka bertiga.
“Kami tak buat apa-apa cikgu. Kami hanya..” Mahathir terkial-kial mencari alasan yang terbaik agar tidak didenda. Shukri dan Fadzrin hanya menundukkan kepala mereka. Tak sanggup untuk memandang muka guru mereka itu yang bagaikan singa kelaparan itu. Malu bercampur takut. Mereka juga sedang mencari alasan.
“Tolong tumpukan perhatian ketika cikgu sedang mengajar. Kali ni cikgu bagi peluang. Sekali lagi cikgu dengar kamu bertiga bising, cikgu takkan teragak-agak suruh kamu berjalan macam itik dari kelas kamu sampai ke kelas-kelas yang lain. Faham?” Cikgu Nadhirah menegaskan suaranya. Semua orang di kelas tersenyum-senyum sinis.
“Faham cikgu!” Balas mereka bertiga serentak. ”Huh, nasib baik tak kena denda. Ni semua Madir punya pasal. Tak pasal-pasal kena marah,” Desis Shukri dihatinya. Mahathir tersengih-sengih melihat mereka berdua sambil mengangkat ibu jarinya. ”Padan muka kamu. Siapa suruh kamu, berahsia sangat dengan aku. Kan dah kena. Hehe..”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan