BAB LAPAN
Pintu biliknya ditutup rapat. Majalah yang berada di mejanya diambil sebelum badannya dilabuhkan di atas katilnya. Setiap muka surat dibeleknya. Matanya teliti membaca mengenai cerita artis hiburan. Memang itulah hobinya, setiap malam sebelum tidur Nuraini akan membaca majalah kesukaannya, Mangga. Sedang asyik membaca, telefon bimbitnya berbunyi. Mengeluarkan bunyi lagu kegemarannya, Aishiteru yang dinyanyikan oleh kumpulan Indonesia, Zivilia. Dia mengambil telefonnya. Ada panggilan masuk tertera di telefonnya. Unknown number. Tanpa memikirkan milik siapa nombor itu, Nuraini sudah tahu siapa orangnya. Nuraini mengeluh. Mengapa orang ini tak berhenti mengganguku. Terasa malas mahu menjawab panggilan tapi kalau tidak dijawab, pasti orang ini akan mengganggunya lagi. Lantas dia membuat keputusan untuk menjawab sahaja panggilan itu.
“Assalamualaikum..” Nuraini memberi salam.
“Waalaikumsalam.. Aini? Awakkah tu?” Nada suara lelaki kedengaran di hujung talian.
“Apa awak nak?” Soalan tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan. Buat apa hendak dijawab. Kalau orang itu sering call, takkanlah masih mahu bertanya siapa yang sedang bercakap.
“Shah tak nak apa-apa. Cuma, Shah nak tanya. Kenapa langsung tak pernah balas mesej Shah? Shah call Aini berulang kali. Balik-balik voice mail. Aini tak pernah nak call Shah balik.” Lembut sahaja lelaki itu menutur katanya.
“Entah.” Balas Nuraini pendek.
“Aini, kenapa dingin sangat kamu ni? Shah tanya serius ni. Jawablah betul-betul. Shah dah tak kenal Aini sekarang ni. Aini dah jauh berubah.”
“Saya dah berubah Shah kata? Berani awak ye. Saya masih seperti yang dulu. Kalau Shah cakap saya berubah sebab saya dingin sangat dengan Shah, ye saya akui. Saya memang dingin tapi hanya dengan orang macam awak. Jangan Shah berpura-pura buat tak tahu kenapa saya jadi macam ni.” Balas Nuraini tegas. Sakit hatinya bila lelaki itu dengan selamba sahaja menegur kelakuan dia itu. Siapa dia mahu menegurnya.
“Aini, janganlah macam ni. Kan Shah dah cakap, apa yang berlaku tu bukan salah Shah. Sayang, please don’t do this to me.” Rayu lelaki itu.
“Sudahlah Shah. Aini dah tak nak fikir balik pasal hal tu. Tolonglah, tolong lupakan Aini. Kita dah tak ada apa-apa hubungan. Aini minta Shah jangan lagi ganggu Aini. Ok. Assalamualaikum.”
“Tapi sayang..” Nuraini terus mematikan talian. Membiarkan saja lelaki itu. Malam itu ketenangannya hilang gara-gara diganggu Shah ataupun Shahrul. Dia adalah bekas teman lelaki Nuraini. Dia sendiri yang memutuskan hubungannya itu dengan Shahrul. Semuanya berpunca daripada Shahrul sendiri. Nuraini tidak tahan dengan sikap Shahrul yang suka mengongkong dan kuat cemburu itu. Rakan-rakannya cakap itu adalah tanda kasih sayang Shahrul. Pada mulanya Nuraini mula memahami sikap Shahrul itu. Namun, itu semua berubah bila Nuraini dapat tahu bahawa Shahrul menjalinkan hubungan dengan perempuan lain. Nuraini yakin Shahrul curang terhadapnya.
Waktu itu Nuraini dan rakannya berada di ruang tamu rumah Shahrul, mereka tengah melakukan study group. Shahrul masuk ke dalam biliknya untuk mengambil buku. Tiba-tiba telefon bimbit Shahrul yang ditinggalkan di atas meja berbunyi, datang satu mesej. Bila Nuraini baca, mesej itu berbaur kasih. Kemudian Nuraini memeriksa semua mesej yang berada dalam telefon Shahrul itu. Nuraini terkedu. Semua mesej yang berada dalam inbox datang daripada nombor yang sama. Malah, Shahrul turut membalas mesej itu dengan ayat-ayat. Mesra benar ayat Shahrul. Sejak itu, Nuraini langsung tidak pernah berjumpa dengan Shahrul lagi. Apatah lagi berhubung. Sebab itulah Nuraini rela hati bila ayahnya mahu dia dipindahkan ke Sabah. Dengan itu dapatlah Nuraini melupakan Shahrul.
Meskipun merindui rakan-rakan di sekolah lama, dia bersyukur kerana tidak lagi perlu bertemu dengan Shahrul. Sekaligus melupakan segala-galanya mengenai lelaki itu. Namun ketenangan yang diharapkan rupanya tidak ada. Shahrul masih mengganggu dia. Sering saja menghantar mesej kepadanya, call dia. Pernah satu hari bila Nuraini menghidupkan semula handphone nya lepas habis dicas, penuh dengan lapan belas missed call dan sebelas mesej daripada Shahrul.
Memikirkan semua itu membuatkan dia malas mahu membaca majalah kegemarannya. Moodnya hilang sebaik sahaja terfikir mengenai Shahrul. Majalah itu disimpan di meja belajarnya. Sebelum tidur dia membaca doa tidur. Lalu mematikan lampu biliknya dan baring mengiring ke kanan. Selang beberapa minit, akhirnya dia terlelap.
* * * * * * * * * *
Seawal jam enam pagi, dia sudah berjalan menuju ke sekolahnya. Jarak rumahnya hanya satu kilometer lebih dari sekolah. Suasana di pagi itu begitu dingin. Menggigil juga Shukri dibuatnya. Bila menghampiri satu gerai yang menjual kuih, dia singgah sebentar untuk membeli kuih sebagai sarapan. Di rumah tadi ibunya tak sempat masak untuk sarapan, jadi Shukri membuat keputusan untuk membeli saja sarapannya. Lepas dibayar, Shukri menyambung kembali perjalanannya. Dengan lafaz bismillah, dia makan kuih itu. Terasa badannya panas sedikit bila kuih itu dimakan. Serba sedikit suhu dingin pagi itu tidak lagi dirasai.
Dia berhenti. Memandang ke kiri dan kanan, lalu melintas jalan raya itu untuk ke sebelah. Dalam perjalanannya itu, dia ternampak ada pelajar perempuan, tidak jauh dengannya sedang mengutip buku-buku yang bertaburan di atas jalan. Shukri pantas menuju ke arah pelajar itu untuk membantu.
“Assalamualaikum. Cik tak apa-apakah?” Shukri memberi salam kepada pelajar itu. Lantas tunduk untuk membantu pelajar itu.
“Hmm, saya tak apa-apa.” Kemudian pelajar itu menoleh ke arah Shukri. Tergamam Shukri sebentar melihat pelajar perempuan itu. Rupa-rupanya pelajar itu adalah Hasmiera. Lama Shukri memandang Hasmiera. Tidak sangka pula hari ini dia dapat bertemu dengan Hasmiera. Tuah memang menyebelahi dia hari ini. Shukri tersedar daripada lamunannya bila Hasmiera melambaikan tangan di hadapannya.
“Kau ok tak? Kenapa tiba-tiba diam?” Hasmiera bertanya kepada Shukri. Malu Shukri rasa bila Hasmiera bertanya kepada dia sebegitu.
“Ta.. Tak ada apa-apalah.” Hanya itu yang mampu Shukri jawab. Takkanlah dia mahu cakap yang dia termenung sebab sedang merenung dengan penuh perasaan kasih terhadap Hasmiera. Boleh trauma Hasmiera dibuatnya.
“Terima kasih sebab tolong saya.” Hasmiera mengucapkan terima kasih kepada Shukri.
“Tak apalah. Dah memang tanggungjawab saya bantu orang dalam kesusahan.” Shukri merendah diri. Pelik juga dia. Sejak bila pula dia pandai membahasakan dirinya sendiri saya? Geli pula rasanya.
“Erm.. Boleh kita jalan sekarang?”
“Ahh iya.. Boleh jalan sudah.” Jawab Shukri. Mereka berdua berjalan bersama menuju ke sekolah. Hati Shukri sekarang ini berdegup dengan kencang. Kelu lidahnya untuk bersuara. Berjalan bersama gadis yang diminati ramai pelajar lelaki malah dirinya sendiri, memang sesuatu yang di luar jangkaan. Namun, hatinya riang. Dapat juga dia dekat dengan Hasmiera. Kalau selama ini hanya dapat memandang dari jauh, kali ini orang itu hanya bersebelahan dengannya.
“Nama kau Shukri kan?” Tiba-tiba Hasmiera bersuara. Memecah kesunyian antara mereka berdua. Shukri pelik. Macam mana pula dia boleh tahu nama aku ni. Hari ni aku pakai baju sekolah yang tiada name tag. Getus hatinya. Shukri hanya mengangguk tanda mengiyakan pertanyaan Hasmiera itu.
“Dah agak dah. Jadi, awaklah pemilik facebook Shukri Kiki tu kan?” Shukri hanya senyum. Lalu, dia bertanya.
“Macam mana kau begitu pasti aku ni Shukri?”
“Entahlah. Tapi bila saya tengok saja rupa kau, terus saya teringat profile picture kawan facebook saya tu. Serupa.” Shukri terkejut. Tak sangka Hasmiera ingat akan rupanya.
“Ya.. sayalah Shukri Kiki tu.” Ujar Shukri.
“Tak sangka sikap kau memang sama dengan cara kau chat dengan saya. Sangat bersopan santun.”
“Hah, sopan santun? Kenapa pula anggap saya macam tu?”
“Tengoklah macam tadi. Masa Shukri datang, Shukri bagi salam. Selalunya orang terus main tegur saja. Yang paling Miera rasa lucu bila Shukri panggil Miera ni cik. Terasa macam dihormati sangat. Gentleman lah Shukri ni.” Puji Hasmiera terhadap Shukri. Panggilan nama antara mereka berdua juga berubah. Terkejut juga Shukri bila gadis di sebelahnya ini dengan mudah memanggil namanya sendiri Miera. Sedangkan dari tadi Shukri terfikir-fikir nama apa yang patut digunakan. Tersipu-sipu malu Shukri mendengar pujian Hasmiera itu. Terselit juga rasa bangga di hati Shukri tatkala ini bila dipuji sebegitu. Apatah lagi orang yang memujinya adalah orang yang diminatinya.
“Tak adalah sampai macam tu sekali. Shuk cuma buat apa yang patut.” Geli juga hatinya bila membahasakan dirinya Shuk dengan Hasmiera.
“Alaa.. Shukri ni merendah diri sangatlah.”
“Hehe.. Taklah merendah diri sangat. Tapi memendekkan diri sahaja.” Gurau Shukri. Tertawa kecil Hasmiera. Melihat Hasmiera yang tertawa itu membuatkan hatinya bertambah gembira. Mungkin ini adalah titik permulaan untuk mereka menjadi rakan yang mesra. Bukan hanya di alam maya tapi di dunia realiti. Shukri berasa tidak sabar mahu sampai ke sekolah. Dia mahu menceritakan hal ini kepada rakan-rakannya. Terutamanya Fadzrin kerana dialah yang sering menasihati dan pada masa yang sama menyindir Shukri kerana tidak bisa mendekati Hasmiera. Kali ini dia mahu buktikan yang dia juga boleh menjalinkan hubungan mesra dengan sesiapa yang dia suka.
* * * * * * * * * *
Fadzrin berdiri di kaki lima kelasnya yang berada di tingkat satu. Dia menanti dengan kesabaran. Sesekali matanya memandang ke bawah kelasnya. Cuba untuk melihat jika Nadiah sudah sampai. Hari ini dia akan memulangkan semula diari itu kepada Nadiah. Sengaja dia datang awal. Berharap dapat memberi diari itu secara privasi dengan Nadiah. Bukan apa, jika rakan-rakannya tahu yang dia ada buku yang penuh dengan rahsia luahan hati Nadiah mesti kecoh jadinya. Apatah lagi kalau Shukri yang dapat tahu isi kandungan diari itu. Pasti akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Tiba-tiba dia terdengar suara Nadiah. Fadzrin dengan segera memandang ke bawah. Untuk memastikan bahawa dia tidak tersalah dengar. Jangkaannya tepat. Suara yang didengari itu memang milik Nadiah. Dari atas dia nampak Nadiah sedang berjalan menaiki tangga dengan Izzati di sebelahnya. Mereka sering ke sekolah bersama kerana rumah mereka berdekatan. Fadzrin bingkas ke tempat duduknya. Masuk saja Nadiah ke kelas, dia terus menuju ke tempat duduknya.
“Assalamualaikum Fadzrin. Awal kau hari ni.” Sapa Nadiah sebelum duduk di atas kerusinya. Kemudian membetulkan keadaan tudungnya.
“Nasib saja ni aku dapat datang awal. Kalau tiada bas yang berhenti mahu ambil penumpang, alamatnya lambatlah aku hari ini.” Fadzrin cuba berlagak biasa. Melayan Nadiah dengan tenang.
“Nad, aku ada benda nak cakap dengan kau.”
“Apa dia?”
Fadzrin menarik nafas kemudian menghembuskannya. Tangannya dimasukkan ke dalam laci mejanya dan mengeluarkan buku diari itu. Kemudian menghulurkannya kepada Nadiah. Nadiah nyata terkejut mendapati diari nya berada bersama dengan Fadzrin. Disangkanya diari itu sudah hilang. Puas dicari namun tidak ditemui. Lalu dia mengambil diari tersebut daripada tangan Fadzrin.
“Aku nak kau tahu yang aku tiada niat langsung mahu ambil diari kau ni. Aku pun tak tahu macam mana diari tu boleh ada dalam beg aku. Mungkin masa kita sudah habis study group, dalam sedang menyusun buku-buku kita yang ada di meja pondok tu mungkin aku terambil diari kau dan kasi masuk dalam beg. Masa tu buku-buku kita bertindihan. Jadi, mungkin sebab tu aku tak perasan.”
“Malam semalam baru aku perasan buku diari tu. Mula-mula aku fikir buku tu kakak aku yang punya. Aku jadi nakallah sikit. Aku pun bacalah diari tu. Bila aku baca, aku musykil sikit sebab ayat-ayat yang ditulis tu langsung tiada kaitan dengan kakak aku. Masa aku nak simpan, gambar kecil kau pun terkeluar. Jadi, dari situ aku tahu diari ni milik kau.” Fadzrin cuba menerangkan dengan sebaik mungkin. Dia tidak mahu Nadiah tersalah anggap.
“Oh.. Kau dah bacalah diari ni?” Ujar Nadiah menundukkan wajahnya. Memandang diari yang berada di tangannya.
“Ya.. Aku ada baca tapi separuh sahaja. Bila aku tahu saja diari ni milik kau, aku terus berhenti baca. Aku tahu diari ni ruang untuk kau meluahkan isi hati kau. Tak baiklah kalau aku baca sesuka hati.”
“Oh, macam tu! Kalau macam tu, boleh aku minta something dengan kau?”
“Sudah tentu boleh. Cakaplah apa dia. Apa-apa saja asalkan boleh tebus balik kesalahan aku ni.” Memandangkan dia sudah melakukan kesalahan, tidak salah agaknya dia melakukan sesuatu untuk menebus kesalahannya. Dia berasa dia perlu bertanggungjawab dalam hal ini.
“Aku mahu kau rahsiakan mengenai apa yang kau sudah baca dalam diari aku ni. Jangan beritahu sesiapa. Biarlah benda ni hanya aku dan kau saja yang tahu. Ok?” Fadzrin mengangguk tanda setuju. Dia berjanji dengan dirinya sendiri untuk merahsiakan hal ini.. Biar sampai bila-bila. Kalau ini boleh menebus kesalahannya, dia sanggup lakukannya.
Nadiah menyimpan diari tersebut di dalam begnya. Lalu berkata. “Fadzrin, relax bah kau. Emosi betul muka kau aku tengok. Janganlah kau rasa bersalah sangat. Salah aku juga sebab bawa diari aku ni pergi sekolah. Sepatutnya aku tinggalkan sahaja di rumah. Tapi, entahlah aku ni. Susah mahu cakap. Hehehe..” Nadiah tersengih sambil mengetuk kepalanya.
“Hehe.. Itulah kau. Bawa lagi diari kau pergi sekolah. Nasib baik aku yang jumpa. Kalau orang lain yang jumpa macam mana? Hancur kau.” Seloroh Fadzrin. Fadzrin lega bila melihat Nadiah sudah seperti biasa. Bergurau senda dengannya. Dia sangka Nadiah akan marah terhadapnya namun sangkaannya itu meleset.
“Nad, boleh aku tanya kau something kah?”
“Tanyalah.” Ujar Nadiah pendek.
“Aku cuma nak tahu macam manalah kau boleh suka dengan dia tu? Bukan aku mahu berkata buruklah. Aku tengok si Shukri tu bolehlah tahan handsome juga. Tapi dia tu kau tahulah kan, dia tu macam nerd sikit. Kalau dengan perempuan, dia agak pemalu. Mahu digandingkan kau yang gaya macam lelaki ni dengan dia tu, aku rasa macam lainlah. Tak sangka pula dalam diam kau jatuh hati dengan dia.” Fadzrin menggantikan kata ganti nama Shukri kepada ‘dia’. Tak perlulah dia menyebut nama Shukri. Rasanya Nadiah sudah dapat mengenal pasti siapa yang Fadzrin maksudkan dengan ‘dia’ itu. Nadiah hanya tersenyum mendengar pertanyaan Fadzrin itu.
“Entahlah. Aku pun tak tahu macam mana aku boleh jatuh hati dengan dia. Semuanya berlaku tanpa aku sedar. Kalau kau nak tahu, aku dah minat dengan dia sejak tingkatan empat lagi. Susah aku mahu kasi hilang perasaan ni. Makin aku pendam makin bertambah kuat perasaan aku ni. Huh, susah aku macam ni. Mungkin inilah namanya hukum karma. Masa di tingkatan empat aku selalu usik dia. Cakap yang dia tu skema lah, tiada perempuan mahu dialah. Last-last aku juga yang kena.”
Memang benar kata Nadiah itu. Shukri sering diusik Nadiah masa di tingkatan empat lagi. Tak sangka pula daripada usik mengusik lama-lama hatinya yang terusik. Apa boleh buat. Ketentuan takdir di tangan Tuhan. Kita sebagai hambaNya harus tabah menghadapinya.
“Jadi sampai bila kau mahu pendam perasaan kau ni? Apa kata kau beritahu sahaja dia. Mana tahu kamu boleh jadi sweet couple of the year.” Usik Fadzrin sambil membuat bentuk love di jarinya. Tertawa kecil Nadiah mendengar usikan Fadzrin itu. Kemudian kepalanya digelengkan.
“Hish, agak-agaklah Fadzrin. Mana aku berani buat macam tu. Lagipun aku ni perempuan. Nanti orang cakap aku ni macam perigi mencari timba pula. Tak nak aku.”
“Alaa.. Zaman sekarang dah modenlah. Tak kisahlah siapa yang mulakan dulu. Yang penting dua-dua dapat hasilnya. Kau ni nampak saja brutal, tapi rupa-rupanya penakut juga.”
“Bukan aku takutlah. Aku kalau dalam hal-hal bercinta ni memang aku surrender lah. Terus-terang aku langsung tak tahu apa-apa. Lagipun kalau bercinta ni, kenalah ikut proses yang betul. Bukan main ikut selamba kau saja.”
“Kamu dua ni memang sesuailah. Kau tak pernah bercinta, dia pun tak pernah. Masing-masing pun tiada pengalaman bercinta. Jadi, keputusannya kamu dua memang sesuailah. Jangan risau. Aku boleh atur untuk kamu dua.” Fadzrin menawarkan dirinya untuk menjadi orang tengah antara Nadiah dan Shukri. Bak kata orang, match making person. Teringin juga dia lihat kedua-dua mereka menjadi kekasih. Pasti gawat jadinya.
“No. No. No.” Ujar Nadiah sambil menggerakkan jari telunjuknya ke kiri dan kanan. Lagaknya tak ubah seperti seorang diva. “Kau jangan nak pandai-pandai. Tugas kau cuma perlu simpan rahsia ni saja ok.”
“Yes maam!” Fadzrin memberikan tabik hormat kepada Nadiah. Lalu Nadiah pun berbuat sedemikian. Kedua-duanya tergelak sesama sendiri. Tiba-tiba muncul Shukri dari belakang Fadzrin.
“Kamu ni, awal pagi bising sudah.” Sapa Shukri. Lalu meletakkan begnya di kerusi.
“Hehe.. suka hati kamilah. Kau pun, masuk kelas bukan mahu bagi salam.” Balas Nadiah.
“Hmm.. yelah tu. Apa yang kamu cerita tadi tu?” Soal Shukri. Fadzrin memandang Nadiah. Kemudian Nadiah memberi isyarat kepada Fadzrin supaya dia tidak memberitahu kepada Shukri tentang apa yang mereka ceritakan. Isyarat Nadiah itu hanya dibalas dengan senyuman Fadzrin.
“Tiada apa-apalah. Kami cerita pasal benda yang mengarut.” Jawab Fadzrin.
“Baru aku ingat. Faz, kau mahu tahukah dengan siapa aku jumpa tadi?”
“Siapalah konon?”
“Aku jumpa Hasmiera tadi.” Kata Shukri sambil tersenyum. Riak wajahnya gembira bila menyebut nama gadis itu.
“Oh.. Betulkah?” Fadzrin seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh rakannya itu. Biar betul dia berjumpa dengan Hasmiera. Mahu bertegur pun susah, inikan lagi berjumpa.
“Betul bro. Aku jumpa dia masa aku on the way pergi sekolah. Masa tu buku-buku dia terjatuh. Aku pun tolonglah dia. Aku ingat pelajar mana, rupanya Hasmiera. Kalau kau dengar suara dia tadi, fuh! Memang kau akan cair punyalah. Lembut betul suara dia. Bak buluh perindulah katakan. Paling aku suka bila dia puji aku ni gentleman. Seorang yang bersopan santun. Punya main bangga aku. Lepas tu, kami sama-sama jalan pergi sekolah.”
“Kamu dua berbuallah ok. Aku mahu pergi tempat Izzati dulu. Mahu pinjam kerja rumah semalam.” Tiba-tiba Nadiah bersuara. Kemudian berdiri dari tempat duduknya.
“Eh, tunggulah dulu! Kau dengarlah dulu cerita aku ni. Rugi kau.” Shukri cuba menahan Nadiah daripada berlalu pergi.
“Tak apalah. Bukan penting sangat cerita kau tu.” Balas Nadiah. Lantas berlalu pergi.
“Lantak kaulah Nadiah. Faz, kalau kau nampak cara kami bercerita tadi, kau boleh salah anggap kami ni couple. Mesra betul kami berdua. Balik-balik dia ketawa kalau aku buat lawak.” Shukri terus bercerita mengenai dia dan Hasmiera. Fadzrin yang di sebelah hanya diam mendengar. Dihatinya terdetik sesuatu. Awal-awal pagi lagi Shukri sudah bercerita pasal Hasmiera. Entah macam manalah perasaan Nadiah tadi. Bukan dia tidak sedar yang riak wajah Nadiah berubah bila Shukri menyebut nama Hasmiera di hadapannya. Dia tahu Nadiah tatkala ini hatinya sakit dan meminjam kerja rumah Izzati itu hanyalah alasannya. Nadiah sebenarnya cuba untuk menyembunyikan perasaan sebenarnya. Sepertimana dia buat selama ini. Timbul rasa kasihannya terhadap Nadiah. Hmm.. Shuk, kalaulah kau tahu selama ni Nadiah suka kau.. Kalaulah kau tahu..
* * * * * * * * * *
Kakinya pantas mengatur langkah. Tercungap-cungap nafasnya. Melihat jam yang hampir menunjukkan jam tujuh pagi, membuat kakinya bergerak dengan pantas. Huh! Satu keluhan kasar diluahkan. Kalaulah dia tidak lewat bangun tadi, sudah tentu dia tidak susah begini. Semua ini gara-gara jam penggeranya tidak berbunyi. Akhirnya dia sempat juga masuk ke dalam sekolah. Dia lihat beberapa pengawas sudah sedia berdiri di depan pagar sekolah. Jika dia lambat lagi sedikit, sudah tentu Mahathir akan didenda berlari di padang.
Kemudian dia berjalan perlahan menuju kelasnya. Sebelum itu, dia berhenti dihadapan cermin. Mahu mengemaskan dirinya. Bila dia sedang mengurus tali lehernya, dia melihat jam di tangannya. Alamak! Tak lama lagi ustaz masuk kelas. Getus hatinya. Ustaz yang dikenali sebagai ustaz Zaki itu memang seorang yang sangat tegas. Pantang ada pelajar yang lambat, akan didenda berdiri di luar kelas sampai habis masanya. Lalu Mahathir berlari-lari anak menuju ke tangga. Secara tiba-tiba Nuraini datang daripada arah bertentangan, membuatkan mereka nyaris bertembung. Nasib baik Mahathir sempat berhenti. Kalau tidak, memang berlaku cerita Hindustan sekarang. Terjatuh bergolek.
“Awak Mahathir. Saya ingat siapa tadi.” Tegur Nuraini sambil meletakkan tangannya di dada. Bersyukur tidak terlanggar dengan Mahathir tadi.
“Kau pula Nuraini. Dari mana kau tadi? Kau pun lambatkah?” Soal Mahathir. Soalannya itu hanya dibalas dengan senyuman Nuraini.
“Aik, macam mana kau boleh terlepas daripada kena denda?” Mahathir pelik. Macam mana Nuraini boleh terlepas daripada kena denda oleh pengawas sekolah mereka. Tiada siapa yang pernah terlepas daripada kena denda datang lewat sebelum ini. Jika ada yang cuba lari pun pasti akan tertangkap jua.
“Kalau awak nak tahu sebenarnya pakcik sayalah guru displin sekolah ni. Dia yang hantar saya tadi. Pakcik saya arahkan pengawas tu supaya tak denda saya. Sebab saya lambat tadi pun sebab pakcik saya hantar anak dia ke sekolah. Masa nak ke sini, tersangkut pula dalam traffic jammed. Jadi, saya pun masuklah.” Nuraini menerangkan keadaan sebenar dengan Mahathir. Mahathir hanya mengangguk.
“Wah, bertuahnya kau! Pakcik kau sendiri yang jadi guru displin sekolah ni. Kalau macam ni tak payahlah kau takut kalau lambat datangkan. Sebab kau mesti tak kena denda.”
“Eh, taklah sampai macam tu sekali. Saya akan tetap mematuhi peraturan seperti biasa. Oh ya, kaki awak macam mana? Dah tak sakit lagi?”
“Ok sudah kaki saya ni. Sakit sikit saja tu. Janganlah risau.” Mahathir menjawab dengan senyuman. Tak sangka Nuraini akan bertanya mengenai kecederaan ringan di kakinya itu. Ingatkan dia langsung tidak ambil peduli.
“Ehem. Ehem.” Tiba-tiba terdengar suara seseorang di belakang Mahathir. Mahathir menoleh. Terkejut dia ustaznya berada di belakangnya. Sejak bila pula ustaz ada di sini.
“Hah, Mahathir. Nuraini. Apa yang lagi kamu berdua buat di sini? Lepas ni, masa sayakan? Cepat pergi kelas sekarang!” Tegas suara ustaz mengarahkan mereka berdua masuk ke kelas. Terburu-buru mereka menaiki ke tangga menuju ke kelas. Kedua-duanya saling ketawa. Entah apa yang mereka gelakkan. Tapi mereka memang geli hati.
* * * * * * * * * *
Pen yang berada di tangannya itu diketuk pada lengan Fadzrin. Fadzrin menoleh ke arah Mahathir. Lalu bertanya.
“Kenapa?”
“Aku ada benda mahu cerita dengan kau ni. Cerita best!” Ujar Mahathir sambil menaikkan ibu jari kanannya.
“Cerita apalah?” Soal Fadzrin.
“Tadi aku dapat berbual dengan Nuraini.” Mahathir mula membuka ceritanya. Suaranya diperlahankan agar ustaz yang sedang mengajar di hadapan tidak mendengarnya. Kalau ustaz dengar, memang teruk kena marah.
“Laa.. Itu saja? Aku fikir apalah tadi. Tidak best pun cerita kau.”
“Kau dengarlah dulu. Belum habis lagi cerita aku tadi. Sabarlah.”
“Bah, ceritalah.”
“Masa aku mahu pergi naik tangga sudah tadi, tiba-tiba dia muncul dari arah bertentangan. Sikit lagi kami berlanggar tadi. Nasib baik aku sempat berhenti. Jadi, masa itulah kami mula bertegur. Buat pertama kali aku dapat bercakap dengan dia. Kau mahu tahu, tadi dia tanya pasal kaki aku yang sakit kelmarin. Huh, bangganya aku bila dia tanya begitu.”
Fadzrin hanya diam mendengar. Matanya tepat memandang ke arah ustaz. Tangannya sedang menulis nota-nota yang berada di hadapan. Apa yang best dengan cerita dia ni? Tiada apa-apa pun. Takkanlah sebab Nuraini tanya pasal kaki dia yang cedera tu pun dia dah bangga? Aduhai! Perasan betul kau ni Madir. Monolognya sendiri dalam hati.
Bahunya ditepuk kuat oleh Mahathir. Tersentak Fadzrin daripada lamunannya.
“Apa?” Soal Fadzrin. Keras nada suaranya. Marah kerana ditepuk dengan kuat begitu. Buat orang terkejut saja.
“Kau dengarkah tidak apa yang aku cerita tadi? Kau senyap saja dari tadi.” Soalan Fadzrin dijawab dengan pertanyaan. Betulkah Fadzrin sedang mendengar ceritanya tadi. Semasa dia bercerita, Fadzrin hanya mendiamkan diri. Tidak memberi sebarang respon. Seolah-olah dia tidak memberikan perhatian kepada ceritanya itu.
“Aku dengar. Aku diam tu tandanya aku tengah dengarlah cerita kau tu.” Jawab Fadzrin. Seketika kemudian kedengaran telefon bimbit ustaz berdering. Ustaz berhenti daripada mengajar lalu menjawab telefonnya di luar kelas. Tidak lama kemudian, ustaz masuk ke dalam kelas dan memberikan arahan kepada ketua kelas.
“Baiklah. Ustaz mahu keluar dulu. Ada hal sekejap. Kamu tolong siapkan latihan ini. Azri, kalau saya belum masuk sampailah habis waktu saya, tolong hantar buku-buku latihan kamu semua ke meja saya.”
“Baiklah ustaz.” Balas Azri. Ustaz berlalu pergi dari kelas tersebut. Keluar saja ustaz dari kelas, masing-masing terus membuka cerita. Ada yang bercerita mengenai drama tv, ada yang bergosip. Tak kurang juga ada yang terus tidur di meja mereka. Mahathir mengambil peluang ini untuk bercerita dengan lebih lanjut lagi pasal tadi.
“Aku tengok Nuraini tu senang saja kita mahu rapat dengan dia. Mudahlah kerja aku nanti.”
“Kerja apa?”
“Alaa.. Yang pasal aku nak tackle dia itulah.”
Fadzrin menghembuskan nafasnya. Dia ingat Mahathir sudah melupakan mengenai hasratnya itu. Rupa-rupanya tidak. Kalau rakannya itu sudah memasang tekad, tiada siapa yang boleh hentikan. Dalam diam, Fadzrin berharap agar rakannya itu menghentikan saja niatnya itu.
* * * * * * * * * *
Sekarang sudah jam sembilan empat puluh. Sudah tiba waktu rehat. Loceng turut dibunyikan. Mahathir berdiri sambil mengemaskan keadaan baju sekolahnya. Fadzrin dan Shukri yang sudah bersiap sedia mahu ke kantin menanti Mahathir di tangga. Lepas mengemaskan bajunya, dia mengatur langkahnya menuju ke kantin bersama rakan-rakannya.
Tiba sahaja di kantin, mereka ikut beratur di barisan lelaki. Keadaan yang sesak dan padat itu membuatkan mereka bertiga berpeluh. Selepas membayar harga makanan, Fadzrin menunggu kedua orang rakannya itu di tempat duduk yang disediakan. Tin air Revive dibuka, dengan lafaz bismillah dia meneguk air itu. Rakan sekelasnya, Milhamah dan Vyerna datang ke tempat dia.
“Sabar kau Faz. Perlahan-lahan kalau minum tu. Nampak haus saja kau ni.” Ujar Vyerna sambil duduk dengan arah bertentangan Fadzrin. Milhamah ikut duduk di sebelah Vyerna.
“Iya.. Perlahan-lahan sudah aku minum ni. Hehe.. Betul cakap kau. Haus betul aku rasa sekarang ni. Lupa aku bawa botol air tadi dari rumah.” Air tinnya diletakkan di meja. Kuih pisang yang dibeli disantapnya.
“Mil, apa cerita kem bomba kau? Aku tengok kau macam jarang sudah pergi kem bomba kau tu.” Soal Fadzrin kepada Milhamah.
“Kem bomba tu masih berjalan seperti biasa. Aku jarang pergi sebab aku mahu fokus dalam pelajaran. Tahun ni kan kita SPM. Jadi, aku kurangkan sikit aktiviti aku dengan kegiatan bomba. Cukuplah aku aktif tahun lepas.” Jawab Milhamah. Fadzrin hanya mengangguk. Milhamah memang seorang yang sangat aktif dalam kegiatan bomba. Sama seperti Shukri, dia juga pernah mewakili sekolah untuk pertandingan kawad hos. Selalunya nama mereka berdualah yang sentiasa disebut jika ada sebarang pertandingan yang berkaitan dengan bomba diadakan. Tapi Milhamah lagi menyerlah daripada Shukri. Pernah menjuarai sebanyak tiga kali berturut-turut dalam pertandingan kawad hos. Namanya juga pernah tertulis dalam surat khabar.
“Baguslah kalau macam tu. Tapi betulkah kau mahu fokus dalam pelajaran ni? Ataupun kau takut muscle di lengan kau tu bertambah besar.” Usik Fadzrin. Vyerna tertawa mendengar usikan Fadzrin itu. Pantas Milhamah memukul lengan Fadzrin.
“Eee.. Kau ni Faz, tangan aku mana ada muscle. Betullah, aku mahu jadi budak rajin sudah ni. Mahu dapat sepuluh A dalam SPM. Hehe..”
“Amin!” Fadzrin mengaminkan doa rakannya itu. Dengan harapan rakan-rakan dan dirinya sendiri akan mendapat keputusan yang baik dalam SPM kelak. Sambil meneguk airnya, matanya tertumpu kepada dua pelajar perempuan yang juga sekelas dengannya.
“Aik.. Siti, sikit juga makanan kau beli. Tengah diet kah?” Suka benar Fadzrin mengusik rakan-rakannya terutamanya pelajar perempuan kelasnya. Baginya, kalau pelajar perempuan ni senang sikit mahu usik. Dia lebih selesa begitu.
“Tak juga macam tu Faz. Tidak semestinya aku beli sikit makanan, aku diet. Saja jimat duit.” Usikan Fadzrin itu dibalas selamba sahaja oleh Siti. Terhenti dia dan Nuraini sebentar di meja tempat Fadzrin duduk. Tanpa pamitan, mereka berdua duduk.
“Oh, mahu jimat duit! Untuk apa? Tanggung perbelanjaan kenduri kahwin kau nanti? Awal juga kau rancang. Hehe..” Tidak puas dengan mengusik pasal diet, Fadzrin mengusik Siti pula dengan usikan berkaitan perkahwinan. Nuraini tersenyum. Tercuit hatinya dengan usikan Fadzrin itu. Siti hanya tersengih sambil menggelengkan kepalanya.
“Hah, kau pula Nuraini. Sikit juga aku tengok makanan di tangan kau tu. Takkan kau pun dah rancang awal pasal kenduri kahwin kau?” Selepas usikannya tidak dibalas, Fadzrin mengalihkan perhatiannya pula kepada Nuraini yang berada di sebelah Siti itu.
“Hehe.. Bukan macam tu lah. Saya ni memang suka makan sedikit saja. Saya cepat kenyang.” Jawab Nuraini sambil tersenyum. Memang itulah gaya pemakanan Nuraini. Setiap hari dia hanya makan sekali atau dua kali saja. Kadang-kadang tu tak makan langsung. Bukan sebab jaga badan, tapi sebab dia jarang rasa lapar.
“Awak cakap orang, tapi awak sendiri pun makan sedikit sahaja.” Nuraini mengenakan Fadzrin kembali dengan usikannya sebentar tadi.
“Ini di sekolah saja kau nampak aku makan sedikit. Kalau di rumah, aku kuat makan. Dalam satu hari enam pinggan aku makan. Ada nasi dan lauknya jugalah. Bukan pinggan saja. Gilakah mahu makan pinggan.” Seloroh Fadzrin. Nuraini dan yang lain-lain ketawa dengan cerita Fadzrin itu. Kelakar melihat telatah Fadzrin itu yang tidak kekok untuk bercerita. Tiba-tiba Mahathir dan Shukri datang dari arah belakang dan menyampuk dalam cerita itu.
“Pandai betul kau buat cerita Fadzrin. Enam pinggan konon kau makan.” Ejek Mahathir. Lalu duduk di sebelah kanan Fadzrin. Berdekatan sikit dengan Nuraini. Manakala Shukri pula duduk di sebelah kiri Fadzrin.
“Jadi, kenapa? Kau dengki?” Siti membalas ejekan Mahathir itu. Biarpun ejekan itu bukan ditujukan kepadanya, tapi dia memang sengaja mencari pasal dengan Mahathir.
“Hish.. Diamlah kau Siti. Hari-hari kau cari pasal dengan aku. Cubalah kau jadi macam Nuraini. Diam saja. Tak banyak mulut macam kau.” Mahathir sengaja menyebut nama Nuraini. Pujian itu hanyalah salah satu strateginya untuk memikat Nuraini. Dia harap Nuraini akan termakan dengan pujian itu.
“Aik.. Madir, kenapa tiba-tiba ada nama Nuraini tu hah? Oh.. Dalam diam Madir suka Nuraini.” Milhamah pula mengusik Mahathir. Mahathir hanya menggelengkan kepalanya. Hish.. Lepas satu datang satu lagi datang. Diorang ni memang tak boleh nampak aku senang betullah. Bila Nuraini mahu mengambil saputangan yang berada di kocek baju kurungnya, saputangan itu terlepas dari jarinya dan jatuh ke lantai. Mahathir yang nampak saputangan itu jatuh lalu terus tunduk untuk mengambilnya. Sebelum diberi kepada Nuraini, dia mengibaskan dulu untuk menghilangkan sebarang kotoran atau habuk. Kemudian, saputangan tersebut dihulurkan kepada Nuraini.
“Terima kasih.” Ucap Nuraini selepas mengambil saputangan itu.
“Sama-sama. Lain kali pakailah tisu. Tak payahlah kau risau takut kotor.” Ujar Mahathir sambil memandang tepat ke wajah Nuraini. Cuba untuk menawan hati Nuraini dengan pandangan matanya.
Shukri dan yang lain tiba-tiba menepuk tangan. Meriuhkan suasana. Shukri dan Fadzrin sengaja merosakkan adegan kasanova Mahathir itu. Terperanjat Mahathir dan Nuraini dibuatnya. Nuraini hanya tersenyum. Mahathir pula mencebikkan bibirnya. Geram dengan rakan-rakannya itu yang mengganggu situasi ‘romantik’ antara dia dan Nuraini. Kacau daun betullah.