BAB LIMA
Fadzrin terbangun apabila jam locengnya berbunyi lantang. Dia menggosok-gosok matanya lalu melihat waktu sekarang pukul berapa. Sudah pukul 5.00 pagi. Dia meregangkan tangannya. Dia menggagahkan juga dirinya untuk bangun meskipun masih mengantuk. Dia mengambil tuala mandinya lalu menuju ke bilik air untuk mandi. Selesai solat subuh, dia berdoa kepada Allah SWT agar mendapat rahmat dan hidayah daripada-Nya. Dia bangun dan terus memakai baju sekolahnya yang tergantung di sebalik pintunya.
“Hmm.. harap-haraplah kali ni aku tak lambat.” Bisiknya sendirian.
Tepat jam 6.26 pagi, Fadzrin telah tiba di sekolah. Dia menaiki tangga menuju ke kelasnya. Dari jauh, dia nampak ada beberapa rakan kelasnya sudah tiba lebih awal daripadanya. Salah satunya ialah Shukri.
“Assalamualaikum. Awal juga kau sampai.” Sapa Fadzrin.
“Waalaikumsalam. Hehe biasalah. Macam kau tak kenal aku. Setiap hari aku datang awal. Pelajar cemerlanglah katakan.” Balas Shukri. Fadzrin hanya tersenyum. Rakannya itu memang seorang yang suka bergurau. Sejak dari tingkatan empat lagi mereka sudah berkawan. Persahabatan mereka begitu akrab sekali bagai dakwat dengan kertas. Begitu juga dengan Mahathir.
Tiba-tiba Raimi datang dari belakang menepuk bahu Fadzrin membuatkan dia terkejut. Dia memalingkan mukanya ke arah Raimi lalu menolak dahinya.
“Kau ni tiada kerja lainkah awal-awal pagi sudah buat orang terkejut? Pelik betul kau ni.” Tegur Fadzrin.
“Hehe relax man. Be cool!” Kata Raimi sambil tersengih-sengih. ”Wei, aku nak tanya korang sikit boleh tak?”
“Tanyalah. Banyak pun tak apa.”
“Korang dah siapkah kerja rumah Matematik kelmarin?”
“Hmm.. itu aku rasa kau tak tanya pun kau tahu sudah jawapannya kan?” Jawab Fadzrin sambil tersenyum. Shukri dan Raimi tergelak. Kerja Matematik pasti selalu tak siap. Bukannya sebab malas tapi sebab mereka tak tahu nak jawab macam mana. Cikgu dah berulang kali ajar tapi otak mereka masih tak dapat terima ilmu yang cuba disampaikan.
“Hei hei.. apa yang kamu bualkan ni? Awal pagi lagi sudah bergosip. Huhu..” Tiba-tiba Erlia menyampuk.
“Aduhai! Agak-agaklah, bagus-bagus kami tengah bincang soal ekonomi dunia kau pula kacau. Hehe..” Seloroh Fadzrin. Erlia tergelak sambil menampakkan barisan giginya yang bersih dan tersusun.
”Eh, mana budak baru tu? Belum sampai lagikah?” Soal Erlia.
“Belum lagi tu. Kenapa?” Balas Shukri.
“Tiada apa-apalah. Aku tanya saja. Manalah tahu dia rasa sunyi kat kelas kita ni. Kan dia pelajar baru, mesti dia agak kekok sikit nak bergaul dengan orang kat sini. So, aku dengan penuh rasa tanggungjawab kenalah melayan dia dengan mesra.”
“Sejak bila lagi kau ni jadi pelayan mesra dengan orang ni? Hobi barukah? Hehe..” Gurau Shukri.
“Bukanlah, kau ni Shuk. Aku memang mesra dengan semua oranglah.”
“Siapa nama pelajar baru tu? Aku dah lupalah.” Sampuk Raimi tiba-tiba.
“Iyalah, aku pun dah lupa nama dia. Yang aku ingat ada Nur tu depan nama dia.” Erlia cuba mengingat kembali nama pelajar baru yang baru kelmarin masuk ke kelas mereka. Fadzrin menggeleng-gelengkan kepalanya. ”Pelupa sungguh kawan-kawan aku ni.” Gerutu Fadzrin di hati.
“Nama dia Nuraini dan berasal dari Selangor. Aduhai, pelupa juga kamu ni. Takkan nyanyuk sudah di usia muda ni. Huhu..” Kata Fadzrin.
“Iya kan.. baru aku ingat.” Ujar Raimi sambil menepuk dahi kepalanya. ”Bila aku tengok muka pelajar baru tu, huh lain aku rasa. Comellah muka dia.” Raimi tersenyum.
“Eh, lain macam saja ayat kau ni. Takkanlah kau dah jatuh hati kat dia.” Kata Shukri.
“Tak adalah sampai macam tu. Mustahillah gadis comel macam dia tu tiada teman lelaki.” Teka Raimi. ”Assalamulaikum!” Tiba-tiba Nadiah datang ke kelas sambil melaungkan salam dengan nada yang kuat sehingga membuatkan semua orang melihat ke arahnya. Lalu dia menuju ke mejanya yang bersebelahan dengan meja Erlia.
”Apa yang kamu tengah cerita tu ? Aku nampak dari tadi bukan main rancak lagi kamu semua berbual. Macam tak ingat dunia. Mesti kamu cerita pasal kecantikan akukan? Alaa, tak payahlah kamu cerita pasal tu. Aku memang cantik pun dari dulu.” Kata Nadiah dengan bangganya. Kata-kata Nadiah itu membuatkan mereka berasa geli hati.
“Kau kata kau cantik? Hmm.. cantik lagi nenek aku daripada kau.” Ejek Raimi sambil tersengih-sengih.
“Hello! Nenek kau tu dah tua, berkedut-kedut. Bukan macam aku ni, masih muda. Mustahil nenek kau masih cantik sampai sekarang. Betulkan Lia? Hehe..”
“Betul. Aku sokong seratus peratus. Kalau tak cukup seratus, tambah seratus lagi.” Kata Erlia sambil menaikkan jari telunjuknya menandakan satu. Sedang mereka tengah rancak berbual, Shukri memegang perutnya. Sakit. Namun, rasa sakit itu beransur-ansur hilang. Fadzrin yang menyedari keadaan Shukri itu lalu bertanya.
”Kenapa Shuk?”
“Tiada apa-apalah. Perut aku ni sakit tiba-tiba. Mungkin perut aku ni masuk angin kot.” Ujar Shukri. Lega Shukri rasa sakitnya tadi hilang.
“Oh.. baru aku ingat! Shuk, aku ada projek baik punya.”
“Projek apa?” Tanya Shukri.
“Nanti aku beritahu kau. Kita tunggu si Madir datang dulu.” Shukri tertanya-tanya apa agaknya projek yang dimaksudkan oleh rakannya itu. Kalau Fadzrin sudah berniat untuk melakukan sesuatu projek, pasti akan berlaku projeknya itu. Bulan Ramadhan tahun lalu, Fadzrin telah merancang sesuatu. Dia memaklumkan kepada guru kelas mereka agar mereka melakukan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Pada mulanya, rancangannya itu hampir gagal kerana kurang mendapat sambutan daripada rakan-rakan sekelasnya. Mereka juga pada masa itu sedang menghadapi peperiksaan, jadi tiada masa langsung untuk mengatur segala-galanya. Namun atas ketabahan dan keazaman yang kuat, projek yang dirancang oleh Fadzrin itu dapat juga berjalan dengan lancar. Hasilnya, mereka dapat penghargaan daripada pengetua sekolah mereka kerana kelas mereka adalah kelas pertama yang berjaya membuat majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim tanpa kerjasama dari pihak sekolah. Itulah salah satu sifat Fadzrin yang amat dikagumi oleh Shukri. Bila rakannya itu sudah tekad untuk melakukan sesuatu, pasti dia akan bersungguh-sungguh untuk melakukannya sampailah tercapai matlamatnya.
“Wahai penghuni-penghuni kelas 5 Al-Farabi! Boleh tak kamu semua tolonglah bersihkan kelas kita ni? Penuh dengan sampahlah. Cermin pun dah berhabuk. Kalau guru kelas kita nampak, memang teruk kita kena bebel ni.” Ketua kelas mereka, Azri memberikan arahan kepada rakan-rakan sekelasnya untuk membersihkan kelas mereka. Semua yang berada di dalam kelas itu tidak menghiraukan arahan itu. Azri terpaksa bertindak lebih tegas lagi. ”Kalau kamu tak nak bersihkan kelas kita ni, tak apa. Tapi nanti kalau kelas kita diumumkan sebagai kelas paling kotor di perhimpunan, jangan pula kamu rasa malu nanti.”
Habis sahaja Azri bercakap, semua orang terus bangun untuk melakukan tugas membersihkan kelas. Ada yang mengambil penyapu, ada yang mengambil beberapa kain untuk mengelap tingkap. Shukri dan Fadzrin terus melakukan tugas yang mereka anggap senang nak dibuat iaitu mengelap tingkap.
“Ketua kelas kita ni memang bijak betullah. Baru dia ugut kita sikit, terus semua jadi rajin membersihkan kelas.” Kata Fadzrin.
“Hehe.. tak sia-sia kita undi dia jadi ketua kelas kita.” Balas Shukri. Dalam kesibukan mereka melakukan tugas masing-masing, muncul Nuraini masuk ke kelas lalu dia duduk di tempat duduknya.
“Hai Aini! Baru sampaikah?” Sapa Fifiana.
“Ya.” Balas Nuraini sepatah.
“Eh, lupa pula mahu memperkenalkan diri. Nama saya Norfifiana. Boleh panggil saya Fifi atau Ana.” Fifiana memperkenalkan dirinya. ”Janganlah Aini rasa malu dengan kami. Semua orang kat sini peramah dan baik-baik belaka. Mungkin taklah baik sangat tapi bolehlah. Ada juga yang nakal-nakal sikit tapi taklah teruk sangat.” Tiba-tiba Siti Syuhaidah dan Ernie datang ke arah mereka.
“Fie, sejak bila kau jadi peramah ni? Selalunya kau ni mahu bercakap pun susah. Macam ada emas saja di mulut.” Seloroh Ernie. Fifiana tersengih-sengih.
“Hai! Nama saya Nur Ernie. Panggil saja saya Ernie. Selamat berkenalan.”
“Saya pula Siti Syuhaidah. Orang dalam kelas ni panggil saya Siti.”
Mereka berempat saling berkenalan antara satu sama lain. Tanpa menyedari tugas yang mereka buat hanya sampai setengah jalan saja mereka buat. Kemudian, Fatehah datang ke tempat mereka. ”Amboi, rancaknya berbual!” Ujar Fatehah.
“Eh, sejak bila kau datang Fateh?” Tanya Ernie.
“Dari tadi lagi aku sampai. Kau yang tak sedar aku datang. Huhu.. jom, kita ke kantin dulu. Lambat lagi kelas nak bermula. Setengah jam lebih lagi baru kelas mula. Lapar betul aku ni. Lupa sarapan tadi pagi.” Pelawa Fatehah.
“Ok. Aini, kau tak nak join kami sekali pergi kantin?” Tanya Ernie.
“Boleh juga.” Balas Nuraini. Mereka berlima terus keluar dari kelas dan menuju ke kantin untuk mengisi perut mereka.
* * * * * * * * * * *
Tingkap semua sudah dilap dengan bersih. Sampah pun sudah hilang di lantai. Tiada lagi kertas-kertas yang menghuni laci setiap pelajar. Semua orang kembali ke tempat duduk masing-masing untuk melakukan hal mereka sendiri. Fadzrin dan Shukri duduk di tempat mereka. Penat. Biarpun hanya sedikit tingkap yang mahu dibersihkan namun kepenatannya tetap ada. Kemudian, muncullah satu lembaga yang agak tinggi masuk ke kelas mereka.
“Awal juga kau datang Madir. Bagus kau datang jam sepuluh. Lagi bagus.” Perli Shukri kerana jam sudah menunjukkan jam 7.15 a.m.. Pengawal sekolah akan menutup pagar sekolah mereka pada jam 7.20. Kalau lambat sedikit lagi, pasti Madir akan dikenakan denda lari mengelilingi padang oleh guru displin sekolah.
“Hehe.. boleh juga aku datang jam sepuluh tapi tak best lah datang lambat ni. Tak macho langsung.” Balas Mahathir. Setelah duduk, dia melihat ke arah rakannya yang berada di sebelah kanan Shukri.
“Faz, kenapa semalam awal betul kau matikan telefon? Aku masih lagi belum habis cakap, kau sudah tutup.” Soal Mahathir. Fadzrin hanya tersenyum mendengarkan pertanyaan Mahathir itu. Dia sudah menjangka Mahathir akan mengungkit hal semalam.
“Kan aku dah cakap, aku mahu pergi makan masa tu. Takkan itu pun tak ingat.” Jawab Fadzrin selamba.
“Makan saja kau tahu. Banyak makan macam mana pun, badan kau yang kurus tu tetap macam tu. Takkan berisi punya.” Perli Mahathir.
“Mentang-mentanglah badan aku ni kurus. Kau pun apa kurangnya, badan macam lidi. Lidi pun tak kurus macam kau. Haha..” Balas Fadzrin. Mahathir memang suka mengejek rakan-rakannya. Kalau bukan Fadzrin yang jadi bahan ejekan, pasti Shukri yang akan dijadikan bahan ejekan.
“Faz, apa projek kau yang kau cakap tadi tu?” Soal Shukri tiba-tiba. Soalan yang diajukan oleh Shukri itu membuatkan Fadzrin teringat kembali projeknya itu. ”Huh, baru aku ingat. Nasib baik Shukri tanya.” Katanya dalam hati.
“Madir, aku ada projek nak beritahu kau ni. Begini, tahun ni kan kita akan menghadapi peperiksaan SPM. Jadi aku rasa ada baiknya kalau kita buat study group setiap hari sabtu dan ahad. Macam mana, kamu setuju tak?”
“Aku ok sahaja. Tapi, takkan kita bertiga sahaja? Aku tak jamin kita akan study kalau kita bertiga sahaja. Terutamanya si Madir ni. Nanti kita belajar, dia pula berSMS dengan girlfriend dia.” Ejek Shukri.
Fadzrin tersenyum. “Jangan risaulah. Kita bawalah orang lain supaya ramai-ramai kita belajar. Cikgu pun sudi datang untuk mengajar kita. Aku dah bincang dengan cikgu Nadhirah dan Miss Lau. Mereka ok sahaja.” Mahathir dan Shukri mengangguk.
Selang beberapa minit kemudian, rakan sekelas mereka, Fatehah dan rakan-rakannya yang lain masuk ke kelas. Saat inilah yang ditunggu oleh Fadzrin dan Shukri. Memang mereka tengah menunggu kedatangan salah seorang dari rakan-rakan yang mengikut Fatehah ke kantin tadi.
“Madir, kau tak perasankah dalam kelas macam ada sesuatu yang berlainan?” Soal Shukri. Mahathir bingung apabila Shukri menyoalnya sebegitu. Berlainan? Apa yang lain dalam kelas ni? Bagi aku, sama sahaja. Tiada perubahan. Mahathir bermonolog sendiri di dalam hati. Dia melihat semua orang yang berada di dalam kelas itu. Muka-muka yang di dalam kelas itu masih lagi muka-muka yang sama. Tak ada yang berubah. ”Apa agakya yang berlainan ni? Tiada apa-apa pun. Mesti diorang saja nak mainkan aku ni.” Getus hatinya. Sedang dia asyik memerhati, dia terpandang seseorang. Wajah yang sangat asing baginya. Begitu indah sekali pada pandangan matanya. Wajah yang bersih, cerah dan penuh keayuan. Comel. Namun, dia tidak pernah melihat orang itu sebelum ini. Siapakah dia?
“Woi! Takkan berkhayal?” Fadzrin memetik jarinya di depan muka Mahathir. Dia tersedar daripada lamunannya. Fadzrin hanya tersenyum melihat keadaan Mahathir.
“Faz, siapa gadis tu? Pelajar baru kelas kitakah tu? Bila lagi dia masuk? Apa nama dia?” Soal Mahathir bertalu-talu.
“Gadis mana ni? Tak tahu pun.” Fadzrin sengaja buat-buat tidak tahu apa-apa. Shukri tersenyum. Dia memang sudah agak Mahathir akan bertanya dengan seribu satu persoalan mengenai pelajar baru itu.
“Janganlah main-main. Kau tahu siapa yang aku maksudkan. Gadis kat sebelah Cerien tu. Apa nama dia?” Soal Mahathir kembali.
“Oh, gadis tu! Nama dia Nuraini. Berasal dari Selangor. Dia baru sahaja masuk kelas kita ni kelmarin. Kau memanglah tak tahu sebab masa dia masuk tu, kau tak ada. Kau tengah meeting masa tu.” jelas Fadzrin. Mahathir mengangguk tanda faham. Nuraini rupanya nama dia. Hmm.. boleh tahan, desis hatinya. Mahathir senyap seketika. Dari penglihatannya, gadis itu sangat comel. Mukanya yang bujur sirih, berkulit cerah dan mata yang redup membuatkan sesiapa yang melihatnya terasa sejuk di hati. Rupa-rupanya inilah yang diorang Nadiah maksudkan kelmarin. Mahathir ingin sekali mengenali gadis itu dengan lebih dekat lagi. Lalu, dia bangun dari tempat duduknya.
“Eh, kau nak ke mana Madir?” Tanya Shukri.
“Apa lagi, aku nak pergi berkenalanlah dengan pelajar baru tu.” Kata Mahathir. Baru sahaja mahu menuju ke arah Nuraini, seseorang telah memanggilnya. Lalu dia menoleh ke arah suara yang memanggil dia. ”Madir, guru kelas kita suruh kau jumpa dia sekarang juga. Ada hal katanya.” Azri memberitahu kepada Mahathir. Dia mengeluh. ”Hal apalah agaknya ni? Sampai aku nak kenal dengan pelajar baru tu pun tertunda.” Lantas Mahathir keluar dari kelas itu dan kemudiannya menuruni tangga menuju ke bilik guru. Dia berharap sangat guru kelasnya itu tidak akan lama-lama bercakap dengannya. Dia ingin segera berkenalan dengan pelajar baru itu. Gadis yang bernama Nuraini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan